Anda di sini

Struktur semula elak pertindihan kuasa

Advertisement
DR YUSUF menerima cenderamata daripada Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Tawau, Abdul Hadi Karim selepas menghadiri sesi taklimat di PPD Tawau.
DR YUSUF menerima cenderamata daripada Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Tawau, Abdul Hadi Karim selepas menghadiri sesi taklimat di PPD Tawau.

TAWAU: Kementerian Pelajaran dan Inovasi Negeri Sabah (KPINS) dalam proses menstruktur semula ‘organisasinya’ untuk mengelak pertindihan kuasa dengan portfolio kementerian di peringkat pusat.

Menterinya, Datuk Dr Yusuf Yacob berkata perkara itu selaras rundingan autonomi yang masih dijalankan dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

“Kita juga akan cuba melihat model pendidikan dari luar negeri untuk dijadikan rujukan membangunkan model pendidikan di negeri kita, seperti Terengganu, Jepun atau Finland.

“Perkara ini sudah kita bincangkan dengan Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Maimunah Suhaibul,” katanya, dalam lawatan kerjanya ke daerah ini hari ini.

Dr Yusuf berkata, kementeriannya juga mahu memperkemaskan bentuk pendekatan yang akan diambil, termasuklah memperkenalkan Unit Biasiswa di bawah KPINS sendiri.

Menurutnya, Kerajaan Negeri menerusi KPINS akan mengikuti dasar-dasar pendidikan yang diputuskan di peringkat Kerajaan Pusat khususnya melalui Kementerian Pendidikan.

“Namun, kita mahu perkara-perkara spesifik berkaitan kepentingan Sabah diputuskan di negeri ini tanpa perlu melalui proses kelulusan daripada Putrajaya terlebih dahulu.

“Misalnya jika ada sekolah yang terjejas akibat bencana angin ribut di negeri ini, tidak perlulah kita menghantar laporan ke Putrajaya sebelum memberikan bantuan,” katanya.

Beliau berkata perkara begitu (menghantar laporan dan menunggu keputusan Putrajaya) disifatkan memakan masa yang panjang, sedangkan perkara itu boleh diputuskan segera.

Mengulas lanjut, proses-proses keputusan yang memakan masa dapat dijimatkan dan dipercepatkan jika KPINS mempunyai autonomi untuk membuat keputusan sendiri.

“Jika ada projek yang perlu dijalankan, kita di peringkat kerajaan negeri termasuk Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Pejabat Pendidikan Daerah boleh membuat keputusan.

“Tetapi kita perlulah mengikut peraturan atau garis panduan dan tidak boleh wujud isu kepentingan peribadi, keutamaan kita adalah pendidikan anak-anak Sabah,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement