Anda di sini

Perth Glory FC terus berpesta gol di Kuching

Advertisement
 Penyerang Perth Glory, Fabio Ferrier (kanan) cuba dihalang pertahanan Sarawak Peter Frank.
TIADA MASALAH: Penyerang Perth Glory, Fabio Ferrier (kanan) cuba dihalang pertahanan Sarawak Peter Frank.

KUCHING: Kelab Perth Glory FC menamatkan jelajah pramusim di Sarawak dengan menewaskan skuad SUKMA Sarawak 7-0 pada perlawanan berlangsung di Stadium Negeri, Petra Jaya kelmarin.

Skuad bimbingan Tony Popovic dihadiahkan sepakan penalti seawal minit pertama dan disudahkan dengan baik oleh kapten Diego Castro.

Perth Glory FC terus garang dan menambah satu lagi gol pada minit ke-18 hasil jaringan pemain muda mereka, Zayd Farah.

Barisan muda Sarawak cuba bangkit memberikan tentangan namun gagal menyaingi rentak pantas ditampil pemain-pemain Perth Glory FC.

Minit ke-21, giliran Chor Dow meletak nama selaku penjaring Perth Glory sebelum Zayd sekali lagi menghukum benteng pertahanan tuan rumah dengan gol keempat pada minit ke-26.

Diego, pemain kelahiran Sepanyol menambah derita skuad SUKMA Sarawak dengan meledak jaringan kelima pada minit ke-35.

Gol keenam Perth Glory menyusul empat minit kemudian hasil rembatan penyerang import dari Portugal, Fabio Ferrier.

Berselang babak kedua, corak skuad SUKMA Sarawak lebih tersusun dan melancar beberapa gerakan berbahaya ke kubu Perth Glory.

Namun, bek kelab profesional dari Australia itu terus berdisiplin mengekang percubaan pemain SUKMA.

Pemain gantian Yagoub Mustafa melengkap malam ceria Perth Glory dengan menjaringkan gol ketujuh pada minit ke-71.

Ia kemenangan kedua Perth Glory di sini selepas membelasah skuad Sarawak dengan jaringan 7-1 pada Sabtu lepas.

Kelab itu berlepas pulang ke Australia malam semalam.

  • oleh
  • Advertisement