Anda di sini

Persaingan sengit Lobster Leleh, Sotong Kangkung dalam Super Spontan Xtravaganza malam ini di Astro Warna & Warna HD

Advertisement
 

IBARAT jatuh ditimpa tangga, Lobster Leleh bukan sahaja gagal dalam mempertahankan kemenangan yang diraih buat pertama kalinya tetapi juga harus menyingkirkan dua ahli kumpulan mereka iaitu Zara Zya dan Anas Ridzuan.

Pengumuman yang dilakukan oleh pengacara, Dato’ AC Mizal sebelum memulakan permainan mengenai dua penyingkiran pada minggu tersebut, telah sedikit sebanyak mendorong kumpulan Lobster Leleh dan Sotong Kangkung untuk bermain permainan spontan dengan lebih agresif untuk menjuarai persembahan pada minggu tersebut.

Hal ini menyaksikan keseluruhan persembahan seimbang di antara kedua-dua kumpulan apabila masing-masing tidak mahu kalah memberikan yang terbaik sehinggakan barisan juri tetap dan juri jemputan, Namron, berbelah bahagi untuk memilih pasukan pilihan mereka pada minggu lalu.

Penyingkiran dua peserta sekaligus menjadikan jumlah pemain kumpulan Lobster Leleh kini seramai lima orang dan Sotong Kangkung masih kuat dengan tujuh orang pemain.

Kemenangan Sotong Kangkung menjadi lebih bergaya apabila ketua kumpulan, Achey, berjaya mendapat Topi Imuniti yang menjadikannya kebal daripada sebarang penyingkiran.

Jelas, Lobster Leleh tidak punya banyak pilihan selain daripada meng-gandakan usaha mereka untuk persembahan mereka pada malam ini.

Mereka telah buktikan bahawa mereka berjaya lakukannya pada minggu ketiga, namun adakah mereka berjaya mengulangi kejayaan tersebut pada minggu kelima ini? Sama-sama kita saksikan malam ini, jam 10.00 malam di Astro Warna (saluran 132) dan siaran serentak di Warna HD (saluran 124) secara langsung dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Serdang.

Untuk pilihan alternatif, program ini turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan ‘on demand’.

Juara Super Spontan Xtravaganza akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 dan sebuah trofi sumbangan Astro.

Naib juara pula akan membawa pulang RM50,000 dan trofi, tempat ketiga (RM25,000 dan trofi), manakala tempat keempat, tempat kelima dan tempat keenam masing-masing RM5,000 beserta trofi.

Advertisement