Anda di sini

Penyertaan awal kelebihan Malaysia bangunkan EV

Advertisement

KUALA LUMPUR: Penyertaan awal dan kurang halangan di peringkat dalaman akan memberi kelebihan kepada Malaysia untuk membangunkan kenderaan elektrik (EV) sebagai kereta nasional yang ketiga, kata bekas Pengerusi dan Pengarah Urusan Proton Tan Sri Mohd Nadzmi Mohd Salleh.

Beliau berkata Malaysia tidak terlalu jauh ketinggalan dalam membangunkan teknologi EV berikutan tidak banyak pengeluar kereta yang besar, selain Tesla, mempunyai kelebihan yang jelas dalam bidang ini.

“Syarikat lain mempunyai kereta EV dan kereta hibrid tetapi tiada syarikat lain, kecuali Tesla, dapat dikatakan mereka mempunyai kelebihan yang jelas berbanding yang lain.

“Oleh itu, kelebihan daya saing semua syarikat untuk kenderaan elektrik hampir sama,” katanya kepada Bernama dalam temu bual di Ibu Pejabat Nadicorp Holdings Sdn Bhd di sini baru-baru ini.

Mohd Nadzmi
Mohd Nadzmi

Mohd Nadzmi, yang kini merupakan Pengerusi Eksekutif Nadicorp, adalah Pengarah Urusan Proton untuk tempoh 1993-96 dan Pengerusinya dari 2009 hingga 2012.

Beliau berkata antara masalah utama yang dihadapi oleh pengeluar kereta yang besar dalam melaksanakan EV pada skala besar adalah halangan di peringkat dalaman berikutan pelaburan yang besar dalam enjin pembakaran dalaman (ICE), selain daripada vendor dan pembekal alat ganti.

“Kita adalah negara pengeluar kereta tetapi kita tidak banyak melabur dalam teknologi konvensional lama.

“Saya fikir jika kita memperkenalkan teknologi baharu untuk industri, orang ramai akan menyokongnya dan tidak begitu banyak halangan,” kata Mohd Nadzmi.

Bagaimanapun, beliau berkata akan terdapat halangan daripada pembekal dan penyedia perkhidmatan selepas jualan berikutan akan terdapat kurang komponen dan perkhidmatan yang diperlukan untuk EV.

Bagaimanapun, Mohd Nadzmi berkata perniagaan ini akan dapat menyesuaikan kepada perubahan tersebut secara berperingkat berikutan EV tidak akan menggantikan kereta ICE secara semalaman.

“Bagi tempoh 10-15 tahun akan datang, akan terdapat banyak kenderaan elektrik di jalan raya dan ini akan menjadi megatrend dalam industri yang kini sudah berlaku,” katanya.

Walaupun Malaysia tidak mempunyai keupayaan dalam EV buat masa ini, Mohd Nadzmi berkata ia bukan suatu yang mustahil bagi negara untuk membangunkan industri tersebut seperti yang terbukti dalam sektor perladangan.

“Jika kita melihat kepada industri perladangan kita (pada peringkat awal) penanaman pokok getah dan kelapa sawit bukan dari Malaysia tetapi kita berjaya menjadi antara pengeksport terbesar komoditi itu.

“Bagi saya, jika kita mahu menceburi industri tertentu, kita perlu ada minat dan mesti bersedia,” katanya.

Mohd Nadzmi berkata usahawan, syarikat swasta atau syarikat senaraian awam perlu menjadi peneraju dalam membangunkan industri EV manakala kerajaan perlu memainkan peranan sokongan dan bukan pemacu utama inisiatif itu.

“Kita memerlukan usahawan terlibat dan melaksanakannya (industri EV) manakala kerajaan boleh mengambil beberapa ekuiti atau memberi geran untuk membangunkan industri ini sebelum ia dapat berdiri dengan sendirinya,” katanya.

Beliau juga berkata penting untuk mengambil orang yang sesuai dan melaksanakan model perniagaan yang betul untuk menjadikan inisiatif itu berjaya termasuk mengupah kepakaran asing pada peringkat awal sebelum membangunkan modal insan tempatan.

“Jika Malaysia mahu berkembang pesat dalam industri ini atau industri lain, kita tidak boleh hanya menunggu orang kita mempunyai pengetahuan itu dan membangunkan teknologi tersebut.

“Kebanyakan negara, mereka tidak mempunyai teknologi dan kepakaran tetapi mereka membelinya atau mengupah pihak antarabangsa untuk bekerja dengan mereka dan kemudian, mereka akan mempunyai lebih ramai pekerja dari negara mereka sendiri untuk mengusahakan projek itu dalam jangka masa panjang.

“Kita juga boleh melakukan perkara yang sama untuk mana-mana industri termasuk EV,” katanya.

Beliau turut mencadangkan mana-mana pihak yang berminat untuk membangunkan industri EV boleh bermula dengan EV komersial seperti bas dan trak kerana ia tidak memerlukan jumlah yang banyak untuk berdaya maju.

“Teknologinya sudah sedia ada dan (ia) hanya mengenai penyepaduan sistem,” katanya.

Katanya bas EV juga boleh digunakan untuk menyokong sistem pengangkutan awam dengan menyediakan penyelesaian perkhidmatan perantara.  

“Mari kita melihat EV dari segi lain, seperti menyediakan penyelesaian perkhidmatan perantara dalam pengangkutan awam yang tidak banyak persaingan dan selepas tempoh tertentu, kita juga boleh mengeluarkan kereta penumpang,” katanya.

Menurut Mohd Nadzmi, membangunkan EV komersial juga kurang rumit berbanding kereta penumpang disebabkan ruang lebih besar terdapat dalam kenderaan untuk meletakkan bateri selain casis dan teknologi yang kurang rumit.

Tambahan lagi, pakej jualan untuk EV komersial juga memainkan peranan penting berikutan pembeli kenderaan komersial bukan pelanggan biasa dan biasanya adalah pengendali perniagaan komersial dan logistik yang lebih menekankan soal keuntungan.

“Jika lebih murah untuk mereka memiliki, menyelenggara dan mengendalikan EV komersial, saya fikir mereka akan memilih kenderaan ini,” jelasnya.

Beliau turut menekankan model perniagaan yang dilaksanakan Perodua melalui kerjasama dengan syarikat asing besar untuk mengurangkan kos pembangunan, sebagai satu kaedah yang boleh dijadikan ikutan.

“Model perniagaan Perodua adalah yang terbaik. Memandangkan pasaran Malaysia kecil, terdapat perkongsian kos pembangunan antara Toyota Group of Companies, terutamanya Toyota dan Daihatsu dan hanya kos marginal yang ditanggung Perodua.  

“Ini adalah caranya untuk melaksanakan perkara ini. Tanpanya (model perniagaan yang betul), saya tidak fikir mana-mana syarikat kenderaan dalam pasaran yang kecil boleh berdaya maju,” katanya.

Beliau turut menceritakan mengenai pengalamannya sebagai Pengarah Urusan Proton dan Perodua diberikan perlindungan yang lebih baik berbanding Proton untuk membantunya berdikari dan sokongan yang sama boleh diberikan kepada kereta nasional yang baharu.

“Sejak dari mula lagi, Proton membayar cukai import dan duti eksais manakala Perodua tidak perlu membayarnya. Ia mempunyai kelebihan ini untuk beberapa tahun,” tambahnya.

Sementara itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, sewaktu lawatannya ke Jepun, mengemukakan idea untuk mewujudkan sebuah lagi kereta nasional selepas melihat pengurusan Proton dikawal oleh Zhejiang Geely Holdings Bhd yang berpangkalan di China susulan pengambilalihan 49.9 peratus saham dalam syarikat pengeluar kereta tempatan itu daripada DRB-Hicom Bhd.

Menurut Perdana Menteri, antara sebab untuk mewujudkan kereta nasional baharu itu adalah membantu syarikat kejuruteraan tempatan yang menghadapi masalah berikutan pengambilalihan tersebut selain merangsang keupayaan kejuruteraan Malaysia. — Bernama

Advertisement