Anda di sini

Penolong jurutera berdepan pertuduhan salah guna kuasa

Advertisement
 Pegawai SPRM mengiringi tertuduh keluar dari Mahkamah Khas Rasuah di Kuching semalam selepas membuat pengakuan tidak bersalah.
DIDAKWA: Pegawai SPRM mengiringi tertuduh keluar dari Mahkamah Khas Rasuah di Kuching semalam selepas membuat pengakuan tidak bersalah.

KUCHING: Mahkamah Khas Rasuah di sini semalam membebaskan seorang penolong jurutera awam dengan jaminan mahkamah RM25,000 serta dua penjamin atas tuduhan salah guna kuasa.

Hakim Nixon Kennedy Kumbong membuat keputusan tersebut selepas tertuduh, Jamal Abdullah, 48, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan.

Tertuduh turut diarah menyerahkan pasport antarabangsanya kepada pihak mahkamah bagi menghalangnya keluar dari negara ini.

Nixon dalam pada itu menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 24 September ini manakala perbicaraan akan diadakan pada 29 Oktober hingga 2 November depan.

Dalam pada itu, tertuduh yang bertugas di sebuah jabatan  Kerajaan Sarawak di sini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rabu lepas kerana disyaki terlibat salah guna kuasa dua tahun lalu bernilai lebih RM40,000.

Menurut sumber, tertuduh dipercayai menyalahgunakan kuasanya dengan memohon syarikat milik isteri, abang ipar dan adik iparnya bagi melakukan kerja-kerja berkaitan penyelenggaraan sistem pengairan luar bandar di sekitar Bau, Lundu dan Sematan sepanjang 2016.

Tambah sumber, kesemua pembayaran bagi enam kerja telah dibuat ke akaun syarikat milik isteri, abang ipar dan adik iparnya pada tahun yang sama.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 23, Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Advertisement