Anda di sini

Pantau aktiviti anak-anak ketika musim jerebu: Fatimah

Advertisement
 Fatimah merakam kenangan bersama penduduk kampung dan kakitangan kerajaan yang terlibat dalam program itu semalam.
KENANGAN: Fatimah merakam kenangan bersama penduduk kampung dan kakitangan kerajaan yang terlibat dalam program itu semalam.

KUCHING: Pantau aktiviti anak-anak ketika musim jerebu yang melanda di beberapa kawasan di negeri ini, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah.

Beliau memberitahu, ia penting bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku ke atas anak-anak sepanjang musim panas dan berjerebu ini.

“Saya berharap ibu bapa dapat memberi perhatian dan memantau anak-anak kerana kita di sini mengalami masalah jerebu dan cuaca panas yang berterusan sejak akhir-akhir ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Outreach@Komuniti di Kampung Beliong, Asajaya dekat sini semalam.

Pada masa sama Fatimah menasihati ibu bapa tidak membiarkan anak-anak bermain terlalu lama di bawah panas matahari bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku kepada anak-anak mereka.

“Kurangkan aktiviti di luar melibatkan anak-anak kita, pastikan mereka minum air yang mencukupi sepanjang musim panas dan jerebu ini,” tegasnya lagi.

Mengulas lanjut tentang program itu, beliau menjelaskan bahawa ia bagi merakyatkan agensi dan jabatan kerajaan agar golongan sasar dapat dibantu dengan sewajarnya.

Tambahnya, program turun padang itu penting agar penduduk di kawasan yang sukar dihubungi (tidak mempunyai akses jalan raya) dapat menikmati kemudahan perkhidmatan kerajaan dengan mudah.

“Di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kita memberi fokus kepada memberi bantuan kepada golongan sasar dan inilah caranya agar mereka ini dapat dibantu.

“Selain itu, ia merapatkan hubungan silaturahim antara jabatan dan agensi kerajaan dengan penduduk kampung,” ujarnya.

Pada majlis itu, Fatimah turut mengumumkan peruntukan geran projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Beliong dan RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Beliong.

Selain itu, beliau turut menghadiri aktiviti Khidmat Bantuan Rumah melibatkan seorang OKU bernama Napsiah Morni di kampung tersebut.

Advertisement