Anda di sini

MYDIN seru rakyat Malaysia sertai Kempen MyPledge

Advertisement
 Rethnasamy (enam kanan) dan Sutaghani (lima kanan) bersama sebahagian kakitangan MYDIN Petra Jaya menunjukkan ikrar merdeka mereka sebelum melakukan upacara menampal nota itu di papan MyPledge di Pasar Raya Besar MYDIN Petra Jaya, semalam.
ANAK MERDEKA: Rethnasamy (enam kanan) dan Sutaghani (lima kanan) bersama sebahagian kakitangan MYDIN Petra Jaya menunjukkan ikrar merdeka mereka sebelum melakukan upacara menampal nota itu di papan MyPledge di Pasar Raya Besar MYDIN Petra Jaya, semalam.

KUCHING: Pasar Raya Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) menyeru rakyat Malaysia untuk menyatakan ikrar mereka kepada negara menerusi Kempen MyPledge yang diadakan serentak di 63 cawangan di seluruh negara ini.

Tidak ketinggalan, pasar raya besar MYDIN Petra Jaya turut mengadakan kempen itu semalam, dengan menyaksikan kakitangan MYDIN di pasar raya tersebut melakukan upacara menampal ikrar merdeka mereka.

Kempen bertemakan ‘Raikan Malaysiaku’ itu merupakan inisiatif MYDIN bersama Jabatan Penerangan Malaysia sempena menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-61 tahun ini.

Objektif penganjuran kempen adalah untuk mengajak rakyat meraikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas, aman dan makmur serta memberi kesedaran patriotisme dan memupuk perpaduan dalam kalangan mereka.

Ia juga sebagai usaha MYDIN untuk mencapai sasaran mereka untuk mencipta nama dalam Malaysia Book Of Records dengan mendapatkan 500,000 ikrar merdeka rakyat Malaysia dalam tempoh satu bulan.

Bagi tujuan tersebut, pasar raya MYDIN menyediakan papan MyPledge di setiap cawangan di seluruh negara bermula semalam (16 Ogos) sehingga 16 September depan.

 Rethnasamy dan Sutaghani (kanan)  menampal ikrar merdeka pada Kempen MyPledge di di Pasar Raya Besar MYDIN Petra Jaya, semalam.
SEMANGAT MERDEKA: Rethnasamy dan Sutaghani (kanan) menampal ikrar merdeka pada Kempen MyPledge di di Pasar Raya Besar MYDIN Petra Jaya, semalam.

Orang ramai yang berminat, boleh mendapatkan nota ikrar dari kaunter informasi atau kaunter perkhidmatan pelanggan di setiap cawangan pasar raya MYDIN di seluruh negara.

Mereka juga boleh menyatakan ikrar merdeka mereka melalui paltform e-ikrar dengan mengimbas kod QR yang terdapat pada platform media sosial MYDIN di Facebook, Instagram dan Twitter @mydinmalaysia atau layari laman sesawang www.mydin.com.my.

Dalam pada itu, sempena Bulan Kemerdekaan, pasar raya MYDIN turut menyediakan pelbagai program, aktiviti dan peraduan menarik untuk disertai para pelanggan menerusi penganjuran Program MyMerdeka di lima lokasi MYDIN iaitu Pulau Pinang, Selangor, Perak, Johor dan Sarawak.

Program yang memasuki tahun ketiga itu mampu mewujudkan masyarakat yang memiliki jati diri yang unggul, memahami dan menerima falsafah  serta dasar-dasar negara.

Pelbagai pengisian menarik sepanjang tempoh pelaksanaan  program itu di mana majlis penutupan Program MyMerdeka akan diadakan pada 16 September depan di MYDIN Petra Jaya, di sini.

Dijangkakan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg akan merasmikan majlis penutupan program itu nanti.

Hadir sama pada program Kempen MyPledge itu ialah Pengurus Cawangan MYDIN Petra Jaya, Rethnasamy Naidu Krishnan dan Pengurus Pasar Raya Wilayah Sarawak MYDIN Vista Tunku Petra Jaya, Sutaghani Ahmad Zaidoll.

  • oleh
  • Advertisement