Anda di sini

Mangsa rabies terbaru di Sarawak kini kritikal

 

KUCHING: Satu lagi kes rabies baharu direkodkan di negeri ini membabitkan seorang lelaki berumur 49 tahun yang tinggal di Bahagian Sri Aman. 

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan media hari ini berkata pesakit tersebut kini dalam keadan kritikal dan dirawat di Wad Penyakit Berjangkit, Hospital Umum Sarawak (HUS). 

Difahamkan, pesakit pernah digigit anjing peliharaannya pada Januari 2018 namun tidak mendapatkan rawatan. 

Pada 11 Ogos yang lepas, pesakit dibawa ke Hospital Serian untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami demam dan sesak nafas. 

Pesakit kemudiannya dirujuk ke HUS pada 14 Ogos selepas menunjukkan tanda-tanda hidrofobia dan lemah badan. 

Dengan pengesahan terbaru ini, jumlah kes rabies di negeri ini kini sebanyak 12 kes dengan 10 kes meninggal dunia, satu kes dirawat di rumah dan terbaru masih dalam rawatan. 

Sehingga 16 Ogos, Kerajaan Negeri mengisytiharkan 33 buah kawasan di lima bahagian di negeri ini sebagai kawasan jangkitan rabies iaitu Serian, Kuching, Samarahan, Sarikei dan Sri Aman. 

Kementerian Kesihatan turut menasihati orang awam agar mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelak daripada penyakit rabies.