Anda di sini

Kes bunuh Kim Jong-nam: Siti Aisyah, Doan diperintah bela diri

Advertisement
 Suspek wanita warga Vietnam Doan Thi Huong, 29, dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam selepas diperintahkan Hakim Datuk Azmi Ariffin membela diri terhadap pertuduhan membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam pada tahun lepas. — Gambar Bernama
SUSPEK: Suspek wanita warga Vietnam Doan Thi Huong, 29, dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam selepas diperintahkan Hakim Datuk Azmi Ariffin membela diri terhadap pertuduhan membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam pada tahun lepas. — Gambar Bernama

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, semalam memerintahkan warga Indonesia Siti Aisyah dan warga Vietnam Doan Thi Huong membela diri terhadap pertuduhan membunuh abang pemimpin Korea Utara,  Kim Chol atau Kim Jong-nam pada tahun lepas.

Hakim Datuk Azmi Ariffin semasa menyampaikan keputusan itu berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud kes prima facie terhadap Siti Aisyah, 26, dan Doan, 29, pada akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Hakim  Azmi berkata beliau telah mengambil langkah untuk meneliti semula keterangan secara objektif dan berpendapat kes pihak pendakwaan daripada semua sudut khususnya perilaku saksi pihak pendakwaan pada perbicaraan.

“Saya juga secara terperinci menimbangkan hujahan kukuh dibentangkan di hadapan saya oleh peguam yang bijaksana dan timbalan pendakwa raya yang bijaksana.

“Cukup untuk saya katakan pada akhir kes pihak pendakwaan, saya telah membuat penilaian maksimum keterangan yang diberikan dan saya mendapati seluruh keterangan dikemukakan oleh pihak pendakwaan pada peringkat ini adalah berwibawa untuk diterima dengan selamat oleh mahkamah.

“Atas alasan-alasan  yang saya sebutkan itu, saya berpuas hati semua inti pati dalam pertuduhan terhadap tertuduh yang perlu dibuktikan telah dibuktikan. Saya dengan ini mendapati pihak pendakwaan telah mewujudkan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh. Saya dengan itu memerintahkan mereka membela diri terhadap pertuduhan masing-masing,” katanya yang menyampaikan penghakimannya selama dua setengah jam bermula 10 pagi.

Hakim  Azmi berkata daripada keterangan dikemukakan di mahkamah, dapat dikatakan wujud konspirasi terancang antara kedua-dua wanita itu dan empat suspek warga Korea Utara yang masih bebas untuk membunuh Kim Chol.

“Saya tidak menolak kemungkinan ini adalah  pembunuhan politik. Namun di sebalik itu saya masih tidak dapat mengesahkan fakta itu.

“Walaupun keterangan dikemukakan pihak pendakwaan dalam bentuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan wujud perancangan rapi dilakukan empat warga Korea Utara itu,” katanya.

Di samping itu, hakim itu berkata kewujudan niat bersama turut dibuktikan dan dua wanita itu adalah pelakunya.

Siti Aisyah dan Doan didakwa dengan empat orang lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 9 pagi, 13 Feb, 2017.

Hakim Azmi berkata selepas menimbangkan tingkah laku empat lelaki warga Korea Utara itu sebelum dan selepas jenayah itu dilakukan, dapat disimpulkan bahawa empat lelaki itu memainkan peranan penting sepanjang proses pembunuhan itu.

“Berdasarkan rakaman CCTV, dapat dilihat empat lelaki itu berada di tempat kejadian tetapi apa yang mereka buat di situ? Mereka hanya antara orang ramai yang berada di situ tetapi mereka memainkan peranan dan mereka adalah sebahagian daripada rangkaian yang membawa kepada pembunuhan si mati walaupun mereka tidak menyentuh pun si mati.

“Tidak disangsikan tertuduh berada di situ semasa kejadian berlaku. Corak serangan itu hampir serupa dan dilakukan dengan jayanya. Kemudian selepas serangan itu, mereka berpisah dengan pergi ke tempat berbeza… persoalannya adalah kenapa mereka mahu pergi ke tingkat berbeza untuk mencuci tangan mereka… jawapan saya adalah sekiranya mangsa melihat mereka, mereka berisiko ditangkap.

“Melihat kepada riak wajah kedua-dua tertuduh, pada saya mereka kelihatan tertekan. Wajah mereka menggambarkan kelakuan mencurigakan. Mereka mungkin ada sebab untuk berkelakuan sebegitu,” katanya.

Peguam Gooi Soon Seng yang mewakili Siti Aisyah dan peguam  Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Doan berkata anak guam masing-masing akan memberikan keterangan bela diri secara bersumpah dari tempat duduk saksi.

Mahkamah kemudian menetapkan 1, 5, 7, 8, 12, dan 13 Nov dan antara 12 dan 14 Dis sebagai tarikh untuk Siti Aisyah membela diri manakala 7 dan 10 Jan,  28 hingga 31 Jan dan antara 18 dan 20 Feb tahun depan untuk Doan membela diri.

Memakai baju kurung dan skaf, Siti Aisyah dan Doan yang dikawal ketat, dibawa masuk ke dalam kamar mahkamah oleh pasukan polis pada kira-kira 8.20 pagi.

Siti Aisyah dan Doan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Semasa ditemui pemberita selepas keputusan itu,  Gooi dan Hisyam berkata mereka amat kecewa dengan keputusan itu namun menghormati penghakiman itu.

“Kami akan melakukan yang terbaik di peringkat pembelaan,” kata Gooi.

“Kami mempunyai lebih 10 saksi dari luar negara dan Vietnam untuk memberikan keterangan. Kami ingin tegaskan anak guam kami tidak bersalah. Anak guam kami sangat sedih,” kata Hisyam.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata ia keputusan yang adil dan mahkamah memutuskan bahawa berdasarkan kelakuan kedua-dua tertuduh menunjukkan mereka tahu tentang agen saraf VX dan motif bukannya isu. — Bernama

Advertisement