Anda di sini

Kerajaan negeri komited baiki sekolah-sekolah daif

Advertisement
JAUJAN (kanan) menyerahkan piala kepada wakil johan keseluruhan hari potensi tabika pada Khamis.
JAUJAN (kanan) menyerahkan piala kepada wakil johan keseluruhan hari potensi tabika pada Khamis.

SEMPORNA: Kerajaan negeri komited untuk terus melaksanakan program membaiki sekolah-sekolah daif yang sudah dikenalpasti di seluruh Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jaujan Sambakong berkata, kerja-kerja pembaikan itu akan dilaksanakan bersama pelbagai agensi berkaitan bagi memastikan semua murid dan pelajar mendapat suasana kemudahan pembelajaran yang kondusif.

"Kita tahu masih banyak sekolah-sekolah daif di negeri ini khususnya di luar bandar dari segi bangunan serta kemudahan lain.

"Kita sudah buat aduan mengenainya dan ribut angin yang berlaku baru-baru ini dilihat sebagai satu hikmah...bila sudah terbang atap, sekolah tumbang...rakyat dan pemimpin akan sedar," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Hari Potensi Kemas Peringkat Zon 6 2018, di sini pada Khamis.

Beliau berkata, pihak berwajib perlu melihat keadaan pendidikan di Sabah bukan sahaja dari segi pembelajaran tetapi juga prasarana bangunan.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, pimpinan negeri sememangnya sedar akan pentingnya pendidikan bagi melahirkan modal insan yang cemerlang.

"Selain pendidikan, prasarana berkaitan juga perlu dipertingkatkan...Program dari segi kokurikulum  di negeri ini juga perlu diteruskan selain perlu diperkasakan

"Saya juga berharap selepas ini pelajar yang memasuki universiti akan diterima berdasarkan bakat terhadap bidang yang dipilih.

"Mereka masuk universiti jangan disebabkan terpaksa dan diberikan bidang yang tidak diminati, seterusnya menyebabkan pelajar itu tidak cemerlang,"katanya.

Katanya, bakat seseorang mahasiswa itu perlu dikenal pasti sejak dibangku sekolah lagi dan dibimbing sehingga mencapai kejayaan.

  • oleh
  • Advertisement