Anda di sini

KD STG, BRP Felix Apolinario bertemu di selatan Pulau Taganak

Advertisement
SESI bergambar bersama warga kedua-dua kapal.
SESI bergambar bersama warga kedua-dua kapal.

SANDAKAN: Pertemuan kapal TLDM Kapal Diraja Sri Tiga (KD STG) dengan kapal Tentera Laut Filipina BRP Felix Apolinario di selatan Pulau Taganak - Sandakan pada pagi Khamis merupakan perkongsian maklumat berkaitan jenayah rentas sempadan dan aktiviti penyeludupan.

Ianya merupakan pertemuan kali ke-17 untuk aktiviti RV Trilateral Maritime Patrols (TMP) dan yang ke-12 bagi tahun 2018 yang dianjurkan oleh Maritime Command Centre (MCC) bagi ketiga-tiga buah negara di bawah inisiatif Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) Malaysia, Indonesia dan Filipina. 

Kedua-dua kapal berkenaan bertemu serta melaksanakan beberapa aktiviti dalam usaha bagi merapatkan hubungan silaturahim antara kedua-dua pasukan seperti aktiviti kunjungan hormat, lawatan oleh setiap warga kapal, mengadakan sesi perbincangan dan  perkongsian maklumat berkaitan dengan jenayah rentas sempadan seperti aktiviti penyeludupan barang-barang kawalan dan penyeludupan migran dan PTI.

Selain itu, skop perbincangan turut membincangkan bagaimana untuk mempersiapkan warga kapal dengan kemahiran ketenteraan di laut dengan bercadang untuk mengadakan beberapa siri latihan di laut.  

Antara isu perkongsian maklumat adalah berkenaan aktiviti KFRG/ASG di sempadan perairan Malaysia-Filipina.

SESI menandatangani buku pelawat.
SESI menandatangani buku pelawat.

BRP Felix Apolinario merupakan salah satu daripada 22 buah kapal ronda (Patrol Craft) Kelas José Andrada buatan Amerika Syarikat yang telah diterima oleh TLP pada 10 Oktober 2000.

Pertemuan ini merupakan pertemuan kedua kapal itu bersama kapal TLDM.

Ketibaan BRP Felix Apolinario disambut baik oleh Pegawai Memerintah KD STG yang dinakhodai oleh Lt Kdr Kamarulzaman Kamaruddin TLDM. 

Pegawai Memerintah BRP Felix Apolinario pernah menjalani latihan selama tiga tahun sebagai Pegawai Kadet di Pangkalan TLDM Lumut dan fasih berbahasa Melayu. 

Beliau tidak asing lagi dengan TLDM khasnya bagi Pegawai Kadet Pengambilan ke-48 Kolej Tentera Laut Diraja (KTLD). 

Kamarulzaman telah menjemput kru kapal BRP Felix Apolinario ke kapal untuk menjamu selera dengan juadah kuih tradisional Malaysia.

Kru kedua-dua kapal saling melaksanakan lawatan ke kapal masing-masing dan turut berkongsi maklumat operasi serta perisikan untuk kebaikan bersama. 

Kapal seterusnya melaksanakan latihan bersama bagi memahirkan warga kapal masing-masing. 

Antara latihan yang dilaksanakan adalah latihan Replenishment at Sea Approach (RASAP), Kibaran Bendera (Semaphore), Publication Exercise (PUBEX) dan Latihan Manuvra Taktis (Mantak).

Personnel Exchange Programme (PXP) juga turut dilaksanakan pada siri TMP kali ini. PXP kali ini melibatkan seramai dua orang anggota setiap kapal dari bahagian operasi dan teknikal. 

Pertukaran warga kapal ini sedikit sebanyak dapat memberi pengalaman kepada anggota yang terlibat berkenaan cara kerja dan operasi kedua-dua kapal. 

Kesemua latihan itu berjaya dilaksanakan dengan jayanya dan mencapai objektif yang dirancangkan.

Inisiatif rondaan TMP ini wajar diteruskan kerana ianya terbukti memberi manfaat yang baik dan impak yang sangat positif kepada komuniti maritim di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone) ini. 

Kedua-dua Pegawai Memerintah juga bersetuju inisiatif ini telah berjaya menurunkan kadar jenayah rentas sempadan hingga hampir sifar. 

Selesai pertemuan, kedua-dua kapal itu kembali meneruskan rondaan di perairan negara masing-masing.

  • oleh
  • Advertisement