Anda di sini

Gadis tanam bayi di bawah rumah ditahan

Advertisement

BINTULU: Seorang gadis berusia 24 tahun ditahan polis untuk membantu siasatan kes menyembunyikan kelahiran dengan menanam bayinya yang dikatakan telah meninggal dunia, di bawah rumahnya di sebuah kampung di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, pada jam 7.35 malam Selasa lalu, polis telah menerima maklumat daripada Hospital Bintulu mengenai seorang wanita tempatan mendapatkan rawatan kecemasan di hospital berkenaan akibat tumpah darah.

“Polis menemu bual wanita berkenaan yang mengaku telah melahirkan anak bersendirian tanpa pengetahuan sesiapa di rumahnya,” ujarnya semasa dihubungi semalam.

Berikutan panik dan takut katanya, gadis terbabit bertindak menanam bayi yang dikatakan sudah mati di bawah rumahnya.

“Hasil maklumat tersebut, polis bersama pihak hospital telah menggali satu tempat di sebuah kampung di Bintulu dan mendapati seorang bayi dengan jantina yang tidak dipastikan di dalam satu bungkusan kain merah dipercayai sudah berumur tujuh hari dan bayi tersebut terus dibawa ke Hospital Bintulu untuk bedah siasat,” tambahnya.

Katanya, wanita yang merupakan suspek kes tersebut telah ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jelasnya.

Advertisement