Anda di sini

Enam lokasi di utara, Mukah catat bacaan IPU tidak sihat

Advertisement

KUALA LUMPUR: Enam kawasan di utara Semenanjung dan Mukah di Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU)  tidak sihat dengan Kangar di Perlis merekodkan bacaan tertinggi iaitu 151.

Menurut bacaan terkini IPU di laman sesawang Jabatan Alam Sekitar hingga 2 petang semalam, Mukah mencatatkan IPU kedua tertinggi iaitu 139  manakala Alor Setar (152), Seberang Jaya (122), Sungai Petani (118), Perai (110) dan Kulim (101).

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata keadaan jerebu di kawasan terbabit dijangka berkurangan dalam dua hari ini akibat perubahan corak tiupan angin yang dijangka berlaku malam ini (semalam).

Menurutnya, jarak penglihatan atau ketampakan akan bertambah baik berikutan perubahan arah tiupan angin.

“Perubahan ini bersifat sementara dan dijangka jerebu akan kembali sekiranya masih terdapat titik panas (kawasan terbakar) di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.

“Titik panas di kawasan negara jiran ini boleh membawa kepada jerebu dan dijangka berlaku lagi Sabtu ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, antara 51 dan 100 (sederhana), antara 101 dan 200 (tidak sihat), antara 201 dan 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

Sementara itu, dijangka beberapa kawasan akan mengalami suhu panas iaitu Bau, Kuching, Sri Aman, Saratok, Pakan, Sarikei, Sibu, Kapit, Miri, Marudi, Limbang di Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah dengan suhu antara antara 34 hingga 37 darjah Celcius iaitu pada tahap berjaga-jaga. — Bernama

Advertisement