Anda di sini

Dua ‘Datuk’ didakwa tipu ahli perniagaan urusan bauksit

Advertisement
 Dua ahli perniagaan Muhammad Adam dan Syed Mohammad Faiz Syed Azemmant,30, dihadapkan ke Mahkamah Majistret berasingan  atas tuduhan menipu tawaran cari gali bauksit membabitkan kerugian RM90,000 kepada mangsa tiga tahun lalu.   — Gambar Bernama
DAKWA: Dua ahli perniagaan Muhammad Adam dan Syed Mohammad Faiz Syed Azemmant,30, dihadapkan ke Mahkamah Majistret berasingan atas tuduhan menipu tawaran cari gali bauksit membabitkan kerugian RM90,000 kepada mangsa tiga tahun lalu. — Gambar Bernama

KUANTAN: Dua ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ dihadapkan ke Mahkamah Majistret berasingan di sini semalam, atas tiga tuduhan menipu tawaran cari gali bauksit membabitkan kerugian RM90,000 kepada mangsa tiga tahun lalu.

Di hadapan Majistret Nurunaim Abdullah, tertuduh Muhammad Adam Rao Abdullah, 47, dari Indera Mahkota di sini, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan terhadapnya.

Dia didakwa memperdayakan ahli perniagaan Tee Boon Hua, 59, berhubung tawaran urusan cari gali bauksit dan tanah laterit yang tidak wujud di tanah milik Setiausaha Majlis Ugama Islam Pahang sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan wang tunai RM90,000 kepadanya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 10 Jun 2015, 19 Jun 2015 dan 10 Julai 2015 di dua tempat berasingan di daerah ini iaitu di Public Bank Jalan Abdul Aziz dan di pejabat Peguam Tetuan Mohd Najid & Partners, Jalan Bukit Ubi.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang  memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Peguam Hisham Ramdzan merayu mahkamah mengurangkan jaminan RM60,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan atas alasan ketiga-tiga pertuduhan melibatkan mangsa dan subjek yang sama.

“Tertuduh menyara ayahnya yang tidak sihat, menanggung adik-beradik selain dirinya merupakan pesakit kencing manis. Saya mohon jaminan dikurangkan kerana tertuduh tidak mempunyai kecenderungan melarikan diri,” katanya.

Nurunaim kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 27 Sept depan sebagai tarikh sebutan semula.

Sementara itu, di kamar berasingan, Syed Mohammad Faiz Syed Azemmant, 30, mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat dengan Muhammad Adam Rao melakukan kesalahan itu di tempat dan masa yang sama.

Pengakuan tertuduh yang beralamat di Peramu Jaya, Pekan dekat sini direkodkan di hadapan Majistret Nor Azizah Aling.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan memohon tertuduh dikenakan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan atas alasan jumlah kerugian yang dialami mangsa adalah tinggi.

Hisham bagaimanapun merayu jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya telah memberikan kerjasama kepada pihak polis sepanjang siasatan berlangsung.

“Tertuduh mempunyai dua isteri dan isteri keduanya baharu sahaja melahirkan anak tiga bulan yang lalu,” katanya.

Nor Azizah menetapkan jaminan pada jumlah RM15,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 27 Sept depan.

Kedua-dua tertuduh menjelaskan jaminan itu. — Bernama

Advertisement