Anda di sini

Bot nelayan asing ditahan, 200kg ikan dirampas

Advertisement
 Bot nelayan asing yang dipercayai menangkap hasil laut di perairan negara tanpa kebenaran ditahan APMM.
MENCURI: Bot nelayan asing yang dipercayai menangkap hasil laut di perairan negara tanpa kebenaran ditahan APMM.

MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Miri berjaya merampas kira-kira 200 kilogram (kg) ikan dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM200,000 susulan penahanan sebuah bot nelayan asing awal pagi kelmarin.

Penahanan bot nelayan asing pada jarak lebih kurang 95.2 batu nautika dari Kuala Bakam pada jam 4.25 pagi itu dilakukan kerana disyaki bot terbabit menangkap hasil laut di perairan negara tanpa kebenaran.

Pengarah APMM Miri Kapten Maritim Md Fauzi Othman berkata, dalam operasi tersebut 10 kru termasuk tekong dipercayai warga Vietnam berumur dalam lingkungan 16 hingga 52 tahun ditahan.

Menurutnya, kesemua yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kira-kira jam 4 pagi semalam (kelmarin), kapal peronda maritim telah mengesan sebuah bot nelayan pada jarak lebih kurang dua batu nautika dari kapal peronda dalam keadaan mencurigakan.

“Pada jam kira-kira 4.25 pagi, bot peronda merapati bot nelayan tersebut pada jarak lebih kurang 95.2 batu nautika dari Kuala Bakam,” jelas beliau dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan tersebut adalah bot nelayan asing dari Vietnam yang disyaki telah melakukan penangkapan ikan di perairan negara tanpa kebenaran daripada Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya.

Md Fauzi menjelaskan, kesalahan tersebut akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.

“Bot nelayan tersebut berserta 10 kru termasuk tekong ditahan untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.

Kapal peronda maritim menjalankan Operasi Permai dengan membuat rondaan di sekitar perairan Miri bermula dari 12 Ogos lalu.

  • oleh
  • Advertisement