Anda di sini

80 pemanah sertai Kejohanan Memanah Terbuka MSNS Sibu

Advertisement
 Pemanah lelaki dari SMK Tiong Hin yang memenangi pingat perak dalam kategori lelaki bawah 15 tahun pada Kejohanan Memanah Terbuka Antara Sekolah-Sekolah di Kelantan.
CEMERLANG: Pemanah lelaki dari SMK Tiong Hin yang memenangi pingat perak dalam kategori lelaki bawah 15 tahun pada Kejohanan Memanah Terbuka Antara Sekolah-Sekolah di Kelantan.

SIBU: Seramai 80 pemanah termasuk tujuh dari Sabah dan empat dari Melaka telah mengesahkan penyertaan mereka dalam Kejohanan Memanah Terbuka MSNS Sibu yang akan diadakan di Pusat Memanah Sibu (SAC) dari 25-26 Ogos ini.

Kejohanan ini adalah anjuran bersama MSNS dan SAC bagi mencungkil bakat-bakat baharu serta mempertingkatkan kualiti pemanah dalam acara sukan tersebut.

“Selain itu, kejohanan ini juga dapat dijadikan platform untuk pemanah menunjukkan bakat serta teknik mereka dalam menyediakan diri dalam apa-apa kejohanan akan datang,” kata Pengurus SAC Desmond Wong kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau turut gembira dengan penyertaan pemanah dari Sabah dan Melaka yang bukan sahaja dianggap sebagai lawan atau pencabar tetapi dapat melonjakkan standard kejohanan ini kelak.

“Tahun lepas, kita hanya berjaya menarik kira-kira 60 pemanah dari seluruh negeri ini. Tapi tahun ini, kita berjaya menarik penyertaan dari Sabah dan Melaka.

“Kita berharap tahun depan, kita akan dapat menarik lebih ramai penyertaan dari luar pada kejohanan ini,” jelasnya.

Pemanah tempatan yang mengambil bahagian adalah dari Miri, Bintulu, Mukah, Kapit, Sarikei dan Sibu.

Sementara itu, SAC baharu sahaja balik dari menyertai Kejohanan Memanah Terbuka Antara Sekolah-Sekolah di Kelantan pada 4-11 Ogos yang lalu dengan memperolehi keputusan sungguh memberangsangkan.

Desmond Ho, Alvin Tan dan Cecil Nathanel dari SMK Tiong Hin telah memenangi pingat perak dalam kategori lelaki bawah 15 tahun manakala Wenny Lai, Sabrina Chin dan Nicole Koh dari SJKC Thian Chin memenangi pingat gangsa dalam kategori perempuan bawah 12 tahun.

Jacky Sung dan Supang Yahya dari SMK Tiong Hin turut menyumbang pingat gangsa dalam kategori regu campuran bawah 18 tahun

Advertisement