Anda di sini

Setia jangan sampai terima arahan buat jenayah

Advertisement
 Dr Mahathir dan Wan Azizah beramah mesra bersama para Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) selepas Majlis Town Hall Perdana Menteri dengan warga PTD itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam. — Gambar Bernama
MESRA: Dr Mahathir dan Wan Azizah beramah mesra bersama para Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) selepas Majlis Town Hall Perdana Menteri dengan warga PTD itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Kesetiaan penjawat awam seperti Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), polis dan tentera kepada kerajaan tidak sepatutnya sehingga sampai ke tahap mengikut arahan yang bertentangan dengan undang-undang, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata jika pegawai kerajaan mendapati tugas yang diberikan adalah jelas salah atau berunsur jenayah, mereka tidak seharusnya mengikut sahaja arahan tersebut.

“Anda tidak perlu ikut semua arahan. Hanya ikut arahan yang tertakluk di bawah dasar-dasar kerajaan,” katanya pada sesi ‘town hall’ bersama 3,500 PTD di sini semalam, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menteri-menteri kabinet dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

“Kalau saya sebagai perdana menteri suruh bunuh orang, adakah anda akan buat? Ada beza antara arahan yang mengikut dasar tertentu dengan arahan melakukan jenayah,” katanya.

Dr Mahathir berkata adalah salah jika pengawai kerajaan menerima arahan untuk melakukan jenayah, seperti menyembunyikan bukti jenayah.

Dr Mahahtir berkata pegawai kerajaan perlu tegas menidakkan arahan yang tidak wajar seperti turun berkempen untuk parti politik walaupun diugut dikenakan tindakan.

“Jika anda semua mengatakan tidak, takkan semua kena hukum?” katanya.

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan membela penjawat awam yang dikenakan tindakan dan ‘didera’ kerana tidak mengikut arahan pentadbiran terdahulu, beliau berkata kerajaan sedia berbincang untuk mengembalikan jawatan mereka.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata beliau perlu meneliti dahulu laporan bagi memastikan mereka yang benar-benar menjadi mangsa dapat dibela, selain mengambil kira kedudukan kewangan kerajaan.

“Ada yang sudah dibela, tetapi jumlahnya terlalu banyak, mungkin ada yang terlepas daripada siasatan kita.

“Jika ada, sila beri dengan maklumat tertentu apa yang menyebabkan dia didera dahulu dan kerajaan akan bertindak kembalikan pangkat lama atau membayar balik apa yang terhutang kepadanya,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata dalam usaha membanteras perkara yang salah, pegawai kerajaan perlu menerima hakikat bahawa mereka akan didera, tetapi mereka perlu percaya apa yang dilakukan akhirnya akan membawa kebaikan.

Mengakui beliau turut didera oleh pentadbiran terdahulu termasuk dihentikan elaun bulanan serta kehilangan rakan-rakan yang takut untuk mendekatinya, Dr Mahathir berkata ia adalah antara cabaran yang perlu dihadapi dalam memperjuangkan perkara yang benar.

“Kalau kerana saya didera dan saya akur sahaja dengan mereka, apa akan jadi pada negara dan masyarakat kita? Jadi kita perlu terima didera kerana kita enggan patuh perkara yang salah,” katanya.

Mengenai soalan dan rungutan lain berkaitan urus tadbir kerajaan yang disuarakan dalam sesi town hall itu, Dr Mahathir berkata beliau akan membuat kajian dan mengadakan perbincangan serta mencari bukti sebelum membuat sebarang keputusan.

“Ramai tulis surat kepada saya. Sekarang saya ada timbunan surat dan saya ada 18 jam (sehari) untuk membacanya,” katanya.

Mengenai hubungan luar negara, Dr Mahathir berkata Malaysia mengamalkan dasar berbaik-baik dengan semua negara di dunia tanpa mengambil kira ideologi negara tersebut dan berhak menegur jika mereka membuat kesalahan tanpa mengira negara kecil atau besar.

Dr Mahathir berkata Malaysia menggunakan pengaruhnya dalam konflik di negara-negara jiran seperti Filipina dan Thailand, bagaimanapun gagal dalam mempengaruhi negara Timur Tengah.

“Kita dah jumpa ramai pemimpin mereka (Timur Tengah) tapi nasihat tidak diterima sebab itu kita gagal pengaruhi mereka,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia sering mempertahankan Palestin kerana berlaku ketidakadilan yang begitu ketara terhadap rakyat negara itu apabila tanah mereka dirampas puak Yahudi.

Dalam usaha membanteras keganasan, Dr Mahathir berkata ia tidak akan dapat diselesaikan jika tumpuan terus diberikan kepada melawan keganasan dengan senjata tanpa mengenal pasti faktor keganasan berlaku.

— Bernama

Advertisement