Anda di sini

Pengawal kena 9 tahun, satu sebat

Advertisement

Lakukan seksual terhadap kanak-kanak perempuan 11 tahun

 

KOTA KINABALU: Seorang pengawal keselamatan dikenakan hukuman penjara sembilan tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, kerana melakukan seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad membuat keputusan itu terhadap Abu Hurairah Eddie, 28, selepas tertuduh mengaku salah.

Abu Hurairah disabitkan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak Kanak 2017, yang memperuntukkan penjara selama tempoh 20 tahun dan sebatan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mencium pipi kiri kanak-kanak berusia 11 tahun di sebuah tandas, pondok pengawal Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Putatan pada jam 6.30 pagi, 13 Julai lalu.

Mengikut fakta kes, semasa insiden berkenaan, mangsa berjalan seorang diri melalui pintu pagar pondok pengawal keselamatan JKR Putatan sebelum dipanggil tertuduh.

Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa terus mendekati tertuduh yang pada ketika itu berada di hadapan tandas.

Tertuduh kemudiannya, bertanya siapakah ayah mangsa, mangsa hanya berdiam diri lalu tangannya ditarik dan dibawa masuk ke dalam tandas.

Mangsa mengelak dan berteriak meminta tolong tetapi, tiada siapa mendengar dan tertuduh menyuruh mangsa diam dan menyatakan akan memberikan wang.

Tidak lama selepas itu, mangsa berjaya melepaskan diri dan berlari ke rumah dan segera menceritakan kejadian kepada ibunya.

Selesai menjalani hukuman penjara, mahkamah turut memerintahkan tertuduh diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun dan melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kunak setiap bulan.

Pada masa sama, tertuduh juga perlu menjalani kaunseling pemulihan yang dikawal selia di penjara.

Pada prosiding berkenaan, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Rustam Sanip manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement