
KOTA KINABALU: Pelancaran laluan penerbangan baharu AirAsia Bangkok-Kota Kinabalu bantu perkukuh industri pelancongan Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata, penerbangan baharu dari Bangkok Thailand ke Kota Kinabalu itu juga bakal memberi impak positif kepada ekonomi negeri ini.
Menurutnya, AirAsia sentiasa komited dalam melaksanakan pelbagai usaha untuk membantu meningkatkan industri pelancongan Sabah.
Justeru katanya, usaha baharu yang diperkenalkan itu sekali gus bakal mengembangkan lagi hab Kota Kinabalu sebagai destinasi pelancongan.
"Selepas beroperasi di Kota Kinabalu sejak 2002, AirAsia menerbangkan lebih 39 juta penumpang dari luar negara dan bandaraya ini.
"Kami amat mengalu-alukan para penumpang yang mengambil penerbangan sulung AirAsia Bangkok-Kota Kinabalu.
"Setakat ini, AirAsia menghubungkan Kota Kinabalu ke 18 destinasi di rantau ini dengan 332 penerbangan secara mingguan," katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Meraikan Penerbangan Sulung AirAsia Bangok-Kota Kinabalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), di sini hari ini.
Riad berkata, penerbangan laluan itu dijadualkan sebanyak tiga kali seminggu pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi berkata, Thailand adalah pasaran penting dalam usaha Malaysia mempromosikan destinasi pelancongan dan produk menarik khususnya di Sabah.
Katanya, usaha yang dilaksanakan AirAsia itu seiring dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan sektor pelancongan.
Pihaknya berharap pemain industri dari kedua-dua negara terus bekerjasama dalam mempromosikan Malaysia seterusnya mengekalkan laluan berkenaan.
Sebelum itu, Mohamaddin bersama 25 wakil pelbagai media Thailand dan seramai 150 penumpang lain menyertai penerbangan sulung berkenaan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueng Bangkok.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Christina Liew menyambut ketibaan Mohamaddin dan rombongan yang tiba kira-kira jam 1.35 petang.