Anda di sini

Mayat remaja lelaki ditemukan setelah hilang empat hari

Advertisement
PASUKAN keselamatan yang membawa mayat mangsa.
PASUKAN keselamatan yang membawa mayat mangsa.

LAHAD DATU: Seorang mayat remaja lelaki berusia 18 tahun berjaya ditemukan pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada Rabu setelah dilaporkan hilang ketika keluar memancing pada Ahad.

Mangsa dikenali Abdullah @Arkin ditemui pasukan SAR berhampiran dengan bot mangsa yang terbalik di perairan Pulau Timbun Mata, Kunak di kedudukan kira-kira tiga batu nautika tenggara Pulau Timbun Mata pada Rabu jam 4 petang.

Mengikut kenyataan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Lahad Datu, pada laporan awal, mangsa bersama dua rakannya telah keluar ke laut untuk memancing ikan dengan menaiki sebuah bot pam 12 Ogos, kira-kira jam 7 pagi.

Bot yang dinaiki telah terbalik akibat ombak besar dan angin kencang manakala mangsa disyaki tidak berkebolehan berenang.

Operasi SAR yang diketuai Pegawai Seksyen Operasi Zon Maritim Lahad Datu Lt Madya (M) Wan Syarafuddin Jafni Wan Badarudin diaktifkan MRSC Kota Kinabalu dengan menggerakkan bot ADAL 17 dan BANGGI 09, dibantu aset agensi kerajaan yang lain seperti Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Bersama (ATB 2) dan bot nelayan tempatan.

Hasil gerakan operasi selama empat hari yang merangkumi sektor pencarian 71 batu nautika persegi sekitar perairan Pulau Timbun Mata, Kunak akhirnya mangsa ditemukan.

Mayat telah dibawa ke FOB bagi tujuan pengecaman mayat oleh ahli keluarga seterusnya diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna untuk tindakan selanjutnya.

Maritim Malaysia memandang serius terhadap sebarang kecemasan yang berlaku di laut dan sentiasa mengambil langkah serta inisiatif yang terbaik dalam usaha mengurangkan kadar kehilangan nyawa.

Orang ramai terutamanya komuniti maritim dinasihatkan supaya sering mengambil langkah persediaan awal sebelum ke laut bagi menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan kerana keadaan cuaca masa kini yang tidak menentu.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat terkini ramalan cuaca melalui MCG Info yang boleh didapati melalui aplikasi ‘playstore’ dan ‘appstore’ di telefon bimbit.

Di samping itu, Maritim Malaysia mengalu-alukan komuniti maritim dan juga orang ramai menyalurkan sebarang maklumat mengenai sebarang kemalangan di laut dengan segera kepada Bilik Operasi Zon Maritim Lahad Datu di talian 089-885727.

  • oleh
  • Advertisement