Anda di sini

Keperitan era komunis dorong Azhari lebih hargai kemerdekaan

Advertisement
 Azahari bersama motosikalnya yang dihias Jalur Gemilang mengelilingi bandar raya Kuching sehingga ke Santubong.
PATRIOTIK: Azahari bersama motosikalnya yang dihias Jalur Gemilang mengelilingi bandar raya Kuching sehingga ke Santubong.

KEPERITAN hidup semasa pemberontakan komunis di Sarawak (1962-1990) membuatkan Azhari Hamdan, 61, menghargai kemerdekaan.

Malah beliau berkata, perasaan cintakan kemerdekaan dan semangat patriotik itu mahu disemai pada setiap sanubari generasi hari ini.

Bermula tahun 2000, beliau menjadikan aktiviti menghias motosikalnya dengan Jalur Gemilang setiap kali sambutan Bulan Kemerdekaan diadakan (Ogos-September) setiap tahun.

Beliau yang tidak pernah kenal erti jemu, sanggup membelanjakan wangnya sendiri untuk membeli bendera Malaysia bagi menghias motosikalnya.

Mengakui ada pihak mengatakan beliau ‘gila’ termasuk anak-anaknya sendiri ketika pertama kali berbuat demikian tetapi setelah 18 tahun melakukan perkara itu Azahari berkata anak-anak serta isteri memberi sokongan kepadanya.

“Saya berkhidmat sebagai pegawai awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pada tahun 1970-an komunis bermaharajalela di Sarawak. Tiada siapa pun yang berani melalui Jalan Kuching-Serian sekarang, terutamanya dari Siburan hingga Tapah, takut terkena peluru sesat komunis.

“Setiap kali ada urusan di Serian kami biasanya akan dieskot oleh anggota Pasukan Polis Hutan atau Police Field Force,” katanya.

Menurutnya, keadaan ketika itu sangat buruk untuk rakyat mencari sesuap nasi bagi keluarga dan mereka hidup dalam ketakutan kerana sering diganggu komunis menyebabkan mereka tidak berani keluar bekerja.

“Sekarang keadaan sangat jauh berubah, aman dan makmur. Keadaan ini mesti dipertahankan oleh generasi hari ini.

“Saya berharap kerajaan menerusi agensi tertentu termasuk wakil rakyat menyediakan landasan untuk generasi hari ini menyatakan rasa cintakan negara seperti apa yang saya lakukan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement