Anda di sini

Jeritan pilu terakhir

Advertisement
 Azijul (kiri) dan Jamilah (tengah) menunjukkan gambar anak-anak mereka kepada Pengerusi Hikmah Cawangan Sri Aman, Dato Wan Abdillah Edruce Wan Abdul Rahman.
MENYAYAT HATI: Azijul (kiri) dan Jamilah (tengah) menunjukkan gambar anak-anak mereka kepada Pengerusi Hikmah Cawangan Sri Aman, Dato Wan Abdillah Edruce Wan Abdul Rahman.

SRI AMAN: Jeritan terakhir ‘Tolong!’ kedengaran menembusi asap tebal sebelum dua kanak-kanak lelaki terbunuh dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah di Kampung Hilir Lingga petang kelmarin.

Ibu mereka, Jamilah Tuah, 26, memberitahu dia mendengar jeritan tersebut tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana api marak dan asap terlalu tebal di tempat kedua-dua anaknya terperangkap.

Menurutnya, dia baharu sahaja pergi ke bilik mandi dan tidak menyedari kedua-dua anak lelakinya, Zulkarnain Ajizul, 5, dan Zulfadli Ajizul, 2, sudah bangun dari tidur dan memasuki bilik datuk mereka.

“Saya melihat asap keluar dari bilik tersebut dan turut mendengar mereka menjerit meminta tolong, namun saya ketika itu tidak dapat berbuat apa-apa kerana api semakin marak dan rumah sudah dipenuhi asap tebal menyebabkan saya tidak dapat melihat apa-apa lagi.

“Dalam keadaan kelam-kabut saya hanya menjerit menyuruh kedua-dua anak saya itu cuba untuk menyelamatkan diri, tetapi sia-sia sahaja dan kejadian berlaku sangat pantas.

“Saya hanya berjaya menyelamatkan anak perempuan saya sahaja dari kebakaran itu,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah saudaranya di sini, semalam.

Selain itu, Jamilah turut memberitahu, mayat kedua-dua anaknya ditemui oleh anggota penyelamat dalam keadaan berpelukan.
“Ketika ditemui oleh anggota penyelamat, Zulkarnain memeluk erat adiknya mungkin dia cuba untuk menghalang adiknya terkena api,” katanya yang tidak lagi dapat menahan kesedihan.   

Suami Jamilah, Azijul Alli, sekadar berdiam diri sambil merenung potret keluarganya yang diambil menggunakan telefon bimbitnya semasa Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Sementara itu, datuk mangsa, Alli Sanusi, 66, berkata dia pada mulanya tidak sedar mengenai insiden itu kerana dia hanya melihat asap tebal dari jauh ketika menangkap ikan bersama anaknya.

Oleh kerana risau katanya, dia kembali ke jeti dan dimaklumkan oleh penduduk kampung bahawa rumahnya telah musnah dijilat api.

“Satu-satunya perkara yang saya bimbangkan adalah cucu-cucu saya, tetapi apabila saya tiba di tempat kejadian, mereka memberitahu saya cucu-cucu saya terperangkap di dalam dan terkorban dalam tragedi itu, ia menghancurkan hati saya,” katanya.

Alli memberitahu, sebelum kejadian, dia masih dapat bermain bersama cucu-cucu lelakinya sementara ibu mereka mengambil kakak mereka dari sekolah.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) Negeri Sarawak Nor Hisham Mohammad berkata, jenazah kedua-dua mangsa dikeluarkan selepas kebakaran dipadamkan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Jenazah mereka dibawa ke rumah mayat Sri Aman untuk bedah siasat.

Advertisement