Anda di sini

Isteri cedera dibaling tombak sawit

Advertisement
TOMBAK sawit yang digunakan suspek mencederakan isterinya.
TOMBAK sawit yang digunakan suspek mencederakan isterinya.

KINABATANGAN: Gara-gara menegur dan melarang suami supaya jangan minum minuman keras lagi, seorang wanita mengalami kecederaan akibat dibaling dengan tombak sawit di Kampung Penangah, Tongod, petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Superintendan A Sahak Rahmat berkata mangsa berumur 36 tahun mengalami kecederaan di bahagian betis kaki kanan.

“Dalam kejadian 1 petang itu, semasa pasangan suami isteri ini dalam perjalanan balik ke rumah mereka dari kebun di kawasan Kampung Penangah, mangsa telah menegur suaminya yang selalu minum minuman keras.

“Pada masa yang sama, mangsa juga telah menyuruh suaminya supaya memindahkan buah sawit ke seberang anak sungai yang berdekatan kebun kakak mangsa,” katanya.

Beliau berkata ekoran daripada teguran itu, suami mangsa telah bertindak dengan membaling tombak sawit ke arah mangsa, menyebabkan kecederaan di bahagian betis kaki kanan mangsa.

“Mangsa telah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Pinangah dan telah dirujuk ke Hospital Daerah Telupid untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sahak berkata mangsa kemudiannya ke Balai Polis Tongod untuk membuat laporan berkenaan pada 9.42 pagi Rabu berhubung kejadian itu.

“Hasil siasatan polis mendapati mangsa dan suspek adalah pasangan suami isteri yang telah mendirikan rumahtangga pada tahun 1996 dan telah dikurniakan enam orang anak yang berusia 8 tahun sehingga 18 tahun,” katanya.

LOKASI kejadian.
LOKASI kejadian.

Beliau berkata mangsa memberitahu sering bertengkar mulut dengan suspek kerana mangsa menegur suspek yang selalu mabuk dan suspek akan memukul mangsa apabila berada dalam keadaan mabuk.

“Perkara ini kerap berlaku dan mangsa sudah tidak tahan dengan tabiat suspek yang suka mabuk," katanya.

Sahak berkata pihaknya masih mengesan suspek berumur 42 tahun yang telah melarikan diri selepas kejadian itu.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumahtangga,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement