Anda di sini

Industri hiliran bakal dibina di luar bandar

Advertisement
JAUJAN ketika melawat projek naiktaraf Dewan Masyarakat Tawau.
JAUJAN ketika melawat projek naiktaraf Dewan Masyarakat Tawau.

TAWAU: Kerajaan negeri bukan sahaja membina rumah mampu milik di luar bandar, tetapi juga industri hiliran bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduknya.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jaujan Sambakong berkata, tidak ada gunanya rumah mampu milik dibina di kawasan luar bandar sekiranya kerajaan tidak mewujudkan industri hiliran.

"Tawau khususnya mempunyai kira-kira 10,000 setinggan. pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini mempunyai tanah tetapi ia jauh dari bandar.

"Oleh itu, kita akan bangunkan industri hiliran di luar bandar dalam usaha menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduknya," katanya pada sidang media ketika mengadakan lawatan kerja ke Majlis Perbandaran Tawau (MPT), di sini hari ini.

Beliau berkata, kepelbagaian industri hiliran itu penting diwujudkan bagi membolehkan para penduduknya mencari sumber pendapatan.

Dalam pada itu, Jaujan yakin bahawa pembinaan lebuh raya Keningau-Sipitang-Tawau mampu meningkatkan jarak perhubungan selain boleh menjimatkan masa perjalanan apabila berjaya disiapkan nanti.

"Kalau dalam perancangan saya, kita juga akan adakan perhubungan dengan negara jiran di Kalimantan... kita akan ajak mereka membuat lebuh raya dari negara terbabit dan kita akan membina lebuh raya di sini.

"Akhirnya, mungkin kita boleh mengurangkan laluan tikus yang wujud. Laluan sah ini turut mampu memberikan keselesaan kepada para pengguna selain mampu menjana pendapatan menerusi kutipan hasil kemasukan di antara kedua-dua negara," katanya.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) berkata, PBT di sini perlu membuat perancangan yang baik bagi mengatasi masalah setinggan.

Menurutnya, Tawau dilihat sebuah bandar yang berpotensi untuk melangkah lebih jauh dalam kemajuan dicapai.

"Oleh itu, mutu perkhidmatan PBT perlu ditingkatkan bukan sahaja dari segi sistem penyampaian tetapi juga dalam usaha menyediakan kemudahan awam," katanya.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pembantu Menteri Hiew Vun Zin, Pembantu Menteri Kewangan Saripuddin Hatta, Setiausaha Tetap KKTP Ginun Yangus serta tetamu kehormat yang lain.

  • oleh
  • Advertisement