
KEMABONG: Lebih lapan kediaman di lima kampung di daerah ini mengalami kerosakan pada bahagian bumbung akibat dipukul ribut dalam kejadian hujan lebat selama hampir sejam, petang Isnin.
Hujan lebat disusuli dengan angin kencang kira-kira 30 minit bermula jam 5 petang hingga 7 malam itu turut menyebabkan bumbung rumah penduduk tercabut akibat diterbangkan angin dan sebahagiannya dihempap pokok.
Terdapat sebuah rumah ranap dan ada juga rumah diterbangkan atap dan siling runtuh apabila ditimpa pokok selain ada juga kediaman yang terputus bekalan elektrik.
Antara kampung yang terlibat dalam kejadian itu adalah Pamaluyan (2 rumah), Gumis (2), Sugiang (1), Angan-Angan (1), Sindungon (1) dan Paal Seberang (1).
Ahli Dewan Undangan Negeri Kemabong Jamawi Jaafar sebaik sahaja dimaklumkan kejadian itu, setelah menghabiskan sesi persidangan Dewan Undangan Negeri pada petang Selasa, bergegas balik ke kawasannya bagi melihat sendiri kesan musibah itu, menemui mangsa yang terlibat di samping menghulurkan bantuan awal.
Turut sama dalam lawatan itu, Penolong Pegawai Daerah Kecil Kemabong Mohd Kassim Haji Yunus, Pegawai Kebajikan Kemabong Mary Sipaji, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta kakitangan Pejabat Daerah Kecil Kemabong dan Pejabat Adun Kemabong.
Jamawi ketika ditemui semasa lawatan itu meminta mereka yang terlibat bersabar sementara Pejabat Adun Kemabong menyalurkan bantuan awal bagi meringankan beban mereka.
"Kita bantu dari segi perkakasan rumah seperti atap zink, papan, beruti dan lain-lain bagi membaiki kerosakan yang ada," katanya.
Menurur beliau yang juga pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, selain bantuan daripada Pejabat Adun Kemabong, pihak Jabatan Perkhidmatan
Kebajikan Am (JPKA) juga akan menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terlibat.
"Saya difahamkan bahawa JPKA kini dalam proses penilaian untuk menyediakan bantuan kebajikan bencana alam kepada beberapa mangsa yang terlibat dalam masa terdekat ini," katanya.