Anda di sini

Wabak selesema burung hanya di Tuaran

Advertisement

KUALA LUMPUR: Penularan wabak H5N1 (selesema burung) hanya membabitkan kawasan Kampung Kauluan, Tuaran, Sabah sahaja sementara di semua daerah lain di negeri itu adalah bebas daripada wabak itu, kata Timbalan Pengarah (Kesihatan Veterinar), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sabah, Dr Peter Lee Ah Kong.

Beliau berkata JPV Sabah sentiasa melakukan pemantauan terhadap wabak ini dari semasa ke semasa bagi memastikan ia tidak merebak.

Sehingga kini, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah juga tidak menerima sebarang laporan mengenai jangkitan wabak berkenaan terhadap manusia dan JPV Sabah bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dalam melakukan pemantauan wabak itu.

“Setakat semalam (kelmarin), JPV Sabah telah mengambil tindakan menghapus dan melupus sebanyak 29,990 ekor unggas dan 3,500 biji telur kepunyaan dua ladang komersial mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Tindakan pelupusan ini dilakukan dalam kawasan yang dikenal pasti di Tuaran bertujuan mencegah penyakit ini menular ke kawasan lain,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Lee berkata demikian semasa mengulas laporan media bahawa Pusat Keselamatan Makanan Hong Kong mengarahkan peniaga menggantung import daging dan produk ayam dari daerah Tuaran, Sabah pada 3 Ogos lepas, setelah mendapat notis daripada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Dunia (OIE).

Hong Kong mengimport kira-kira 100 tan daging ayam beku serta 190 juta telur ayam dari Malaysia untuk tempoh enam bulan pertama, tahun ini.

Lee berkata penduduk Sabah tidak perlu bimbang mengenai ayam dan telur di pasaran kerana semua diproses melalui pusat penyembelihan yang mempunyai lesen daripada JPV dan mengikut SOP ditetapkan.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPV Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata Malaysia bebas daripada wabak H5N1 dan orang ramai tidak perlu bimbang kerana JPV sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan wabak itu tidak merebak. — Bernama

Advertisement