TAWAU: “Saya masih trauma kerana melihat angin berpusar itu masuk ke rumah dari atas (bumbung) berwarna putih seperti kabus dengan bunyi kasar dan menggerunkan."
Demikian pengakuan salah seorang mangsa ribut pada malam Isnin, Norsaidah Mhd Said, 44, semasa ditemui di Lorong Seroja Kg Tanjung Batu Keramat Laut, di sini pada Selasa.

Semasa kejadian, mangsa bersama suami dan tiga anaknya berada di dalam rumah menonton televisyen sebelum dikejutkan dengan bunyi angin yang bising dan hujan lebat.
Cahaya petir yang sesekali kelihatan pula membuatkan beliau melihat sendiri zink, kayu dan paku berterbangan di dalam dan luar rumah sehingga membuatkan mereka ketakutan.

“Saya sempat melihat angin besar itu datang, berpusing dari atas dengan meruncing menaik dan terasa rumah kami terangkat sebelum terjatuh selang lima saat kemudian.
“Kejadian berlaku dengan sangat pantas dan apabila membuka pintu baharu saya tahu bahawa rumah kami sebenarnya sudah jatuh (tergelincir) dari tiang asal,” katanya.

Norsaidah dan ahli keluarganya memutuskan untuk keluar dari rumah selepas itu walaupun cuaca masih buruk kerana bimbang kejadian lebih buruk menimpa mereka.
Menurutnya, mereka terpaksa menjerit meminta pertolongan jiran untuk naik berteduh di rumah jirannya, sebelum orang kampung datang membantu menyelamatkan mereka.

“Orang kampung turut membantu mengeluarkan barang-barang elektronik dan perkakasan lain, kerana bimbang air pasang akan datang dan lebih menyukarkan kami.
“Mujur pada masa itu air surut dan syukur kami selamat walaupun dilanda dugaan sebegini,” katanya sambil mengakui masih belum memikirkan tempat tinggal baharunya.

Jiran Norsaidah, Syahrir Said, 56, pula berkata rumahnya terjejas selepas tiga batang kayu yang diterbangkan angin menembusi dinding dan memecahkan tingkap rumahnya.
“Pada masa itu, saya dan isteri sedang tidur di rumah tetapi dikejutkan apabila salah satu batang kayu tajam itu menembusi tingkap bilik tidur saya,” katanya.
Penduduk Kg Pasir Putih Baharu, Hamran Beddu, 35, pula berkata kejadian itu disedarinya kira-kira jam 11.30 malam sebelum terpaksa mencari tempat perlindungan.

Beliau bersama isteri, ibu dan anak-anaknya bergegas ke belakang rumah apabila melihat atap zink rumah mereka mula diterbangkan angin kencang.
Jiran Hamran, Noorala Muh Tang, 36, mendedahkan kejadian itu berlaku dengan pantas dan menggerunkan kerana bunyi angin yang datang seperti ‘bergulung’ di atap rumahnya.
“Paling perit sebab bekalan elektrik terputus, jadi cukup berbahaya kerana keadaan gelap, menyebabkan kami berkumpul seisi keluarga di ruang tamu,” katanya.

Atap zink rumahnya juga diterbangkan sekelip mata oleh angin kencang, menyebabkan mereka sekeluarga trauma dan khuatir dengan cuaca buruk yang melanda.
Tinjauan Utusan Borneo di Kg Tanjung Batu Keramat Laut mendapati kira-kira 10 rumah yang terjejas manakala di Kg Baharu Pasir Putih pula melibatkan sembilan rumah.