Anda di sini

Sekurang-kurangnya 200 lagi penerbangan bawa pelancong ke Sabah

Advertisement
 Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Jaujan Sambakong bersama rakan sejawatnya Liew (kanan) membincangkan sesuatu sebelum sesi persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah bermula di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah semalam. — Gambar Bernama
PERKASA PELANCONGAN: Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Jaujan Sambakong bersama rakan sejawatnya Liew (kanan) membincangkan sesuatu sebelum sesi persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah bermula di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Se-kurang-kurangnya 200 lagi penerbangan sewa dan tambahan antarabangsa, mulai sekarang hingga Mac 2019, akan membawa pelancong dari China, Korea Selatan dan Jepun ke Sabah, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Christina Liew.

Beliau berkata, penerbangan sewa akan bermula dari bandar peringkat kedua di China seperti  Zhengzhou, Wenzhou, Nanning, Tianjin, Yi Wu dan Xiayang serta sekurang-kurangnya 76 penerbangan dijangkakan dari Korea Selatan, termasuk dari Pulau Jeju, yang akan menjadi penerbangan sewa secara terus pertama ke Kota Kinabalu.

“Sabah menerima 152 penerbangan sewa atau tambahan 20,000 pelancong pada separuh pertama 2018 dari China dan Jepun.

“Pada masa ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu menerima kira-kira 196 penerbangan dari 21 bandar antarabangsa seminggu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, semalam.

Liew berkata, tahun lepas Sabah menerima 215 penerbangan sewa dari China, Korea Selatan, Taiwan, Jepun dan Thailand.

Selain itu, beliau berkata penerbangan langsung tiga kali seminggu dari Bangkok ke Kota Kinabalu akan bermula pada15 Ogos, 2018 dan penerbangan harian sebanyak dua kali dari Shenzen dan Macau dijangkakan bermula pada November.

Beliau berkata secara keseluruhan, bagi tahun ini sebanyak 1.89 juta pelancong tiba di Sabah setakat Jun, meningkat 5.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Kami berada di landasan untuk mencapai sasaran 3.85 juta ketibaan pelancong menjelang akhir tahun ini dan ia akan merancakkan ekonomi Sabah,” katanya. — Bernama

Advertisement