Anda di sini

Sabah rangka tiga komponen utama pacu OD1SI, kata Tangau

Advertisement

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah merangka tiga komponen utama untuk memacu perkembangan Satu Daerah Satu Industri Kecil (OD1SI) di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Wilfred Madius Tangau.

Tangau yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian negeri berkata tiga komponen itu merangkumi penganjuran Festival Industri Kecil Sabah (FIKS), melaksana inisiatif Produk Utama Daerah, dan mewujudkan Jawatankuasa Penyelarasan OD1SI bagi membincangkan dan menangani segala isu, cabaran serta masalah berkenaan perkembangan program tersebut.

Tangau berkata komponen itu dirangka bagi melahirkan dan memperkasa budaya keusahawanan dalam kalangan penduduk melalui pelbagai aktiviti tertentu, termasuk kursus bagi menghasilkan produk daripada sumber asli, mengadakan pameran produk dan pembentangan perniagaan.

“Pembentangan perniagaan yang meliputi profil syarikat, potensi, cabaran dan jenis bantuan yang diperlukan (usahawan) diadakan pada 10 Julai lepas, dengan seramai 33 PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) dipilih Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR).

“Panel penilai yang melibatkan 10 agensi kerajaan, memberi bantuan khusus kepada usahawan seperti SIRIM, SME Corp, MATRADE (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia), AIM (Amanah Ikhtiar Malaysia) dan MARA,” katanya ketika sesi soal jawab pada sidang Dewan Undangan Negeri Sabah, semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Hajiji Noor (UMNO-Sulaman) yang bertanyakan mengenai program OD1SI serta sasaran kementerian bagi mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan menjelang 2023.

Tangau berkata komponen itu juga dilihat mampu membangunkan satu kluster produk di setiap daerah menggunakan sumber asli dimiliki daerah terbabit dalam jangka masa pendek, sederhana; dan panjang bagi memastikan setiap daerah dikenali dengan produk ikon masing-masing.

Menurutnya inisiatif Produk Utama Daerah itu akan dapat mengembangkan lagi industri kluster seperti hasilan laut di Semporna, kraftangan di Kota Belud, minyak kelapa dara di Kudat, jagung dan nenas di Tamparuli, ubi kayu di Nabawan, Kopi di Tenom serta halia di Tambunan.

Mengenai penganjuran FIKS, Tangau berkata seramai 280 usahawan IKS menyertai festival itu sempena Tamparuli Fest dengan memperoleh jualan tunai RM700,000 dan potensi jualan RM600,000, dengan jualan purata kira-kira RM4,500 bagi setiap usahawan.

Dua lagi FIKS akan dianjurkan masing-masing di Kota Belud pada September dan Nabawan pada awal November tahun ini, katanya.

Mengulas sasaran mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan, Tangau berkata angka itu merujuk kepada jumlah pekerjaan yang dijangka diwujudkan oleh sektor IKS menjelang 2023, selaras dengan anggaran pertumbuhan industri berkenaan pada kadar 5.5 peratus hingga 5.7 peratus setahun.

“(Unjuran peluang pekerjaan itu juga) berdasarkan kepada jumlah pekerjaan sedia ada sebanyak 451,000 pada 2016. Berdasarkan anggaran itu, jumlah peluang pekerjaan yang boleh diwujudkan adalah antara 25,000 dan 26,000 setahun,” katanya.

OD1SI dilancarkan pada 11 Julai lepas bertujuan memperkasa IKS dan membantu usahawan menjana lebih banyak pendapatan, menyediakan peluang pekerjaan bagi mengurangkan penghijrahan penduduk ke negeri lain serta memperluas produk berasaskan sumber asli tempatan. — Bernama

Advertisement