
KOTA BELUD: Program Pemeriksaan Mulut Sendiri ke arah kehidupan berkualiti yang diadakan di Kg Bangkahak di sini merupakan satu aktiviti memberi kesedaran kepada masyarakat setempat mengenai kepentingan menjaga kebersihan diri khususnya penjagaan gigi.
Program anjuran bersama Bahagian Kesihatan Pergigian Kota Belud dengan Jawatankuasa, Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang bertema ‘1Rumah 1Cermin' itu turut mengetengahkan kaedah menangani risiko penyakit mulut termasuk gigi kepada penduduk setempat.
Menurut kajian, 68 peratus penduduk yang biasa merokok, meminum alkohol dan mengunyah pinang yang mengandungi tembakau amat membimbangkan di mana, 84 peratus daripada mereka berhadapan risiko kanser mulut dan penyakit mulut yang lain.
Pegawai Pergigian Kawasan Kota Belud Dr Nur Ain Mandur Fahn dalam ceramahnya berkata kaedah cermin berinformasi berfungsi menjadi satu pendekatan yang boleh digunapakai memastikan mesej kesihatan pergigian dapat disampaikan dengan lebih berkesan.
“Kalau diikutkan, setiap rumah sekurang-kurangnya memiliki satu cermin bagi mengamalkan melihat keadaan gigi sendiri dan langkah pemeriksaan mulit sendiri menggunakan cermin yang ada.
“Diharapkan juga tema 1Rumah 1Cermin dapat membantu ke arah kehidupan yang sihat dan berkualiti,” katanya.
Sempena program itu, empat ikon gigi iaitu Nur Hayati Watis, Nurul Jannah Harun, Nur Aina Fatin Asidin dan Basri Bin Lala turut membantu fasilitator memudahcara penduduk kampung menjalankan teknik pemeriksaan mulut.
Turut diadakan ialah pameran, persembahan lagu berirama dan Cermin Berinformasi.