
KEMABONG: Lapan rumah iaitu di Kg Pamaluyan (2), Kg Gumisi (2), Kg Sugiang (1), Kg Angan Angan (1) dan Kg Sindungon (1) dan Kg Paal Seberang dalam kawasan Dewan Undangan Negeri DUN Kemabong yang musnah dilanda ribut pada Isnin lalu mendapat perhatian wakil rakyatnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong Jamawi Jaffar berkata, ketika ini Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) sedang dalam proses untuk menyalurkan bantuan kebajikan bencana kepada ketua keluarga yang terjejas dalam bencana itu.
"Pejabat Adun Kemabong juga menyalurkan bantuan awal seperti perkakas rumah bagi meringankan beban keluarga yang terjejas dalam bencana ini," katanya ketika ditemui selepas melawat ketua-ketua keluarga yang terjejas dalam bencana itu hari ini.
Katanya, kejadian pada Isnin itu turut melanda Kg Entabuan dan Kg Makakumpai sehingga mengalami gangguan bekalan elektrik dari jam 6 petang sehingga hampir 12 tengah malam akibat terdapat pokok tumbang sehingga menyebabkan kabel elektrik terputus.
"Kita ucapkan terima kasih kepada pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Tenom kerana pantas membuat tindakan bagi menangani masalah itu," katanya.
Jamawi yang baru sahaja selesai menghadiri Sidang DUN Sabah selama dua hari dan selesai selepas DUN ditangguhkan pada Selasa, terus bergegas balik ke kawasan berkenaan, khusus untuk melawat beberapa mangsa hari ini.
Turut sama dalam lawatan itu, ADO Kemabong Mohd Kassim Haji Yunus, Pegawai Kebajikan Kemabong Mary Sipaji, anggota APM serta kakitangan Pejabat Daerah Kecil Kemabong dan Pejabat Adun Kemabong.