
TUARAN: Seramai 17 lelaki termasuk individu yang pernah menjalani pengawasan dadah ditahan sepasukan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam satu operasi di sini.
Ketua Pegawai AADK Tuaran Asraf Hafiz Ruslan berkata Ops Perdana itu dijalankan di beberapa perkampungan selepas mendapat maklumat orang awam serta kerja risikan selama seminggu di kawasan terlibat.
Katanya operasi dijalankan bermula jam 11.30 malam di Kampung Indai, Simpangan dan perumahan Lembaga Tabung Getah Sungai Damit di sini.
“Hasil operasi berjaya menahan seorang penagih di Kampung Sungai Damit yang pernah menjalani pengawasan dengan pihak AADK pada 2012.
“Suspek berumur 34 tahun itu turut dikenalpasti menjalani rawatan pemulihan selama dua tahun sehingga 2014,” katanya.
Menurutnya tahanan itu adalah antara 17 penagih yang ditahan dan hasil ujian awal memdapati kesemua suspek terlibat dalam penyalahgunaan dadah jenis syabu.
“Suspek berumur 18 hingga 49 tahun terbabit disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.
Katanya operasi dijayakan anggota AADK dari beberapa daerah termasuk AADK Sabah, Ranau serta Pusat Pemulihan Jagaan dan Rawatan (CCRC) Papar.
Beliau turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti penagihan dadah.