
KOTA KINABALU: Seramai empat warga asing didapati positif dadah selepas bot nelayan yang digunakan suspek ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Kepten Maritim Asmawati Mohd Tujeri berkata, tangkapan terbabit dibuat di 0.23 batu nautika timur Munongtorong Karambunai, di sini.
Katanya, semasa pemeriksaan, keempat-empat suspek dalam keadaan khayal akibat mengambil dadah.

"Terdapat lapan kru di dalam bot nelayan berkenaan dan hanya tiga yang memiliki dokumen pengenalan diri sah.
"Lima lagi hanya membuat akuan mulut sebagai warga asing termasuklah empat warga Filipina dan seorang lagi Indonesia," katanya dalam kenyatan di sini pada Ahad.
Beliau berkata, bot terbabit ditahan kerana disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Dadah Merbahaya 1952.
Asmawati berkata, pihaknya menyerahkan bot berkenaan kepada pegawai penyiasat di jeti Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan untuk tindakan selanjutnya.