Anda di sini

PKS diseru jalin kerjasama dengan IPT

 Norhalim (tengah) beramah mesra dengan peserta ketika merasmikan MTDC Road2Growth 2018 East Coast, semalam. — Gambar Bernama
MESRA: Norhalim (tengah) beramah mesra dengan peserta ketika merasmikan MTDC Road2Growth 2018 East Coast, semalam. — Gambar Bernama

KUANTAN: Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) digalak mengadakan kerjasama dengan universiti tempatan bagi menjadikan mereka lebih berdaya saing dalam menghadapi era industri 4.0 dan revolusi industri keempat.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Technology Development Corporation (MTDC) Sdn Bhd, Datuk Norhalim Yunus, berkata kerjasama itu penting bagi membolehkan PKS di negara ini menggunakan lebih banyak teknologi untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan syarikat.

“Dalam membangunkan syarikat, kita perlu menyuntik teknologi dan jika tidak mampu menghasilkan teknologi itu sendiri kerana sibuk untuk mengeluarkan dan memasarkan produk PKS, kita boleh bekerjasama dengan MTDC dan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi membangunkan teknologi yang diperlukan.

“Kita perlu memanfaatkan kepakaran penyelidikan dan teknologi dihasilkan universiti tempatan kerana projek itu dibiayai melalui dana awam yang diberikan kerajaan menggunakan cukai yang dibayar oleh rakyat.

“Amat merugikan jika teknologi itu dibiarkan tanpa digunakan sepenuhnya oleh rakyat termasuk usahawan PKS,” katanya kepada pemberita selepas program jelajah tahunan ‘Road2Growth’ Kelima peringkat Zon Pantai Timur, di sini, yang disertai hampir 100 peserta.

Menurutnya, kerjasama dengan IPT tidak seharusnya dihadkan kepada aspek pelesenan teknologi atau komersial semata-mata, namun perlu dilihat secara lebih menyeluruh termasuk dalam soal pemindahan teknologi daripada IPT kepada syarikat.

“PKS juga boleh bekerjasama dengan IPT untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan bersama untuk menghasilkan teknologi diperlukan oleh industri tempatan selain mengambil siswazah yang dilatih dalam bidang teknologi sebagai tenaga kerja,” katanya.

Menurutnya, pada masa ini kebanyakan PKS bergantung kepada teknologi mesin yang diimport dari negara lain menyebabkan mereka terpaksa menanggung kos pengeluaran yang tinggi sedangkan bagi sesetengah teknologi dan alatan, ia ada dihasilkan di negara ini.

Sehubungan itu beliau berharap, proram tahunan ‘Road2Growth’ mampu membuka ruang kepada usahawan tempatan dalam menjalin kerjasama dengan universiti tempatan selain berkongsi pengalaman dengan PKS yang sudah berjaya, hasil dana disumbangkan MTDC.

Program ‘Road2Growth’ sebelum ini diadakan di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Sabah; Kuching, Sarawak dan Seberang Prai, Pulau Pinang.

MTDC adalah anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd yang berperanan dalam pengkormesialan dan pengurusan dana pembiayaan kerajaan sejak Rancangan Malaysia Ketujuh.

-- Bernama