
TAWAU: Penolong Pemungut Hasil Tanah Tawau Munandar Tahir meminta pemilik akaun Facebook Pendekar Mata Satu (PMS) memohon maaf secara terbuka melalui media massa dan sosial, jika tidak mahu berhadapan tindakan undang-undang.
Permintaan itu dibuat susulan perkongsian tular oleh netizen terbabit yang disifatkan mengandungi dakwaan untuk menjejaskan reputasi baik pegawai kerajaan berkenaan.
Munandar juga sudah membuat laporan polis dan melantik peguam untuk kes saman malu, jika PMS gagal meminta maaf dalam tempoh seminggu selepas berita ini disiarkan.
“Saya berharap beliau tampil memohon maaf secara terbuka kerana saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap dirinya,” katanya.
Beliau yang menemui Utusan Borneo di sini pada Ahad mendakwa tidak mengetahui agenda sebenar netizen itu membuat perkongsian yang mengandungi ‘tuduhan liar’ terhadapnya.
Orang ramai juga diharap tidak mudah terperdaya dengan tuduhan-tuduhan berkaitan dirinya yang dikongsikan di medium media sosial oleh penama netizen itu.
“Saya mahu membersihkan nama saya yang sudah ditularkan oleh PMS yang disertakan dengan dakwaan bahawa saya ada bertemu pegawai kanan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) di Kota Kinabalu.
“Kononnya, saya berjumpa untuk mempengaruhi pegawai kanan terbabit supaya menarik balik keputusan meluluskan satu permohonan tanah untuk tujuan perkampungan.
“Saya menafikan dakwaan itu dan saya tidak bertemu pegawai kanan terbabit di ibu pejabat Kota Kinabalu, kerana menghadiri mesyuarat kerja di lokasi berbeza,” katanya.
Beliau berkata, isu itu berhubung kait permohonan tanah kira-kira 8.5 ekar di Tanjung Batu Laut untuk perkampungan baharu yang sebenarnya dimiliki sebuah syarikat swasta.
Kelulusan pemilikan kepada syarikat swasta terlibat di tanah seluas kira-kira 13 ekar itu diluluskan pada 2002 oleh Timbalan Pengarah Tanah dan Ukur Dahlan AH Tengah.
“Sebenarnya, permohonan tanah perkampungan yang dimaksudkannya itu sudah dihantar ke Kota Kinabalu (ibu pejabat JTU Sabah) untuk pewartaan.
“Namun masih ada beberapa proses yang diperlukan dan setahu saya, memang JTU Sabah bersedia untuk meluluskannya tetapi memerlukan sedikit masa lagi,” katanya.
Munandar berkata JTU juga sedia memberikan kelulusan pewartaan perkampungan kerana syarikat swasta terlibat bersetuju melepaskan pegangan pemilikannya di tanah terbabit.
Persetujuan itu diterima oleh JTU melalui surat yang dikirimkan oleh pejabat guaman lantikan syarikat terbabit berhubung status tanah yang sudah ada kediaman penduduk.
“Kawasan yang sudah didirikan rumah akan kita wartakan untuk perkampungan, tetapi kawasan lain masih menjadi milik syarikat terbabit sehingga tahun 2100,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata keluasan sebenar keluasan tanah untuk perkampungan itu bergantung kepada saiz kawasan tapak yang sudah pun didirikan rumah oleh penduduk.
Munandar menjelaskan proses permohonan itu juga sebenarnya sudah ‘separuh jalan’ dan perlu menunggu kelulusan Pengarah Tanah dan Ukur yang kini berada di Tanah Suci.
“Tuduhan yang mengatakan saya mengkhianati harapan penduduk kampung juga adalah berat, kerana memang sudah menjadi hasrat saya untuk membantu orang kampung.
“Sekarang kawasan itu masih berstatus setinggan jadi apabila dapat diwartakan untuk tempat perkampungan, hal ini juga akan menjadi kenangan baik untuk saya,” katanya.
Menyentuh majlis perasmian perkampungan baharu yang diatur pihak tertentu pula, beliau berpendapat lebih baik acara itu ditangguh selagi kelulusan pewartaan belum dikeluarkan.
Utusan Borneo difahamkan, penempatan awal di kawasan pertikaian terbabit sudah pun dibuka semenjak penghujung 1970-an sebelum terus berkembang sehingga hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus mengesahkan siasatan kes itu dibuka mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Sabit kesalahan, seseorang itu boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan sehingga satu tahun, atau kedua-duanya, dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 untuk setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.