Anda di sini

Pemantauan, persampelan diteruskan kawal virus selesema burung

Advertisement
JUNZ menunjukkan peta lokasi kewujudan virus selesema burung ketika sidang media.
JUNZ menunjukkan peta lokasi kewujudan virus selesema burung ketika sidang media.

KOTA KINABALU: Usaha pemantauan dan persampelan daripada ayam ternakan orang kampung di sekitar Tuaran masih diteruskan sebagai langkah mengawal penularan virus selesema burung.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Junz Wong berkata, sehingga kini sebanyak 29,990 ayam dan 3,500 telur telah dilupuskan.

"Jumlah itu termasuklah telur dan ayam ternakan orang kampung dari sekitar perkampungan yang dikenal pasti oleh pihak kementerian dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah sebagai risiko kewujudan virus itu.

"Sehingga kini, hanya satu kes berlaku yang mana masing-masing di Kampung Kauluan dan Kg Loputung," katanya pada sidang media selepas sesi pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan Pertama 2018 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15.

Beliau berkata, pemantauan di perkampungan lain dalam radius 5 kilometer (km) masih diteruskan dan sampel juga sudah diambil untuk kajian.

Junz juga bersimpati kepada para penternak ayam kerana terpaksa melupuskan haiwan ternakan mereka bagi mengelakkan penularan virus itu.

"Kita akan memberikan pampasan berpatutan kepada pihak terbabit khususnya orang kampung.

"Kita tidak berniat melakukan perkara itu, tetapi terpaksa bagi mengawal keadaan," katanya.

Junz juga tidak menafikan virus itu mungkin dibawa masuk dari negara jiran khususnya oleh individu yang terlibat dalam aktiviti sabung ayam.

Dalam pada itu, beliau juga mengumumkan bahawa Sabah bakal mempunyai industri hiliran sarang burung walit pada masa hadapan.

Katanya, perbincangan sudah dilakukan di peringkat kerajaaan Pusat dan membenarkan Sabah mempunyai industri itu sendiri.

"Pada masa depan, kita mampu mengeksport sendiri produk ini ke China tanpa perlu melalui Semenanjung Malaysia kerana pusat industri hiliran ini kini tertumpu di sana.

"Dalam masa terdekat, kita akan mengadakan satu forum kepada mereka yang berminat untuk menceburi industri itu di sini," katanya.

Advertisement