Anda di sini

Muhyiddin angkat sumpah Ahli Parlimen Pagoh

Advertisement
Muhyiddin yang juga Anggota Parlimen Pagoh mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. - Gambar Bernama
Muhyiddin yang juga Anggota Parlimen Pagoh mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat di Parlimen hari ini. - Gambar Bernama


KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Pagoh di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Majlis mengangkat sumpah itu diadakan sebelum persidangan Dewan Rakyat bersidang pagi ini. 

Mohamad Ariff selepas itu mengalu-alukan kehadiran Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri dan mengucapkan tahniah atas kemenangan beliau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Beliau turut berharap Muhyiddin dapat memberi sumbangan yang berguna dan berfaedah dengan berhujah secara baik, dalam usaha memastikan institusi Parlimen negara kekal disegani oleh setiap lapisan masyarakat.

“Seperti saya ingatkan sebelum ini, Dewan Rakyat ini mempunyai kedudukan tertinggi dalam menentukan undang-undang negara dengan tujuan memberi manfaat terbesar kepada rakyat. Ia mempunyai kewibawaan sendiri dan melengkapkan cabang pemerintahan yang lain.

“Justeru, peranan Parlimen sebagai medan perbahasan dan perdebatan haruslah dihayati sebaiknya dalam usaha-usaha menambah baik dan penggubalan undang-undang haruslah diteruskan supaya Parlimen disegani dan dirahmati segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bercuti sejak 12 Julai lepas bagi menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada pankreas.

Beliau menjalani pembedahan itu di Singapura baru-baru ini dan dibenarkan keluar dari Hospital Mount Elizabeth pada 7 Ogos lepas. 

Setiausaha Akhbarnya, Hafiz Abdul Halim sebelum ini dilaporkan berkata tahap kesihatan Muhyiddin semakin baik ketika ini dan beliau dijangka kembali bertugas serta menghadiri beberapa mesyuarat bermula minggu ini.

Muhyiddin dijangka menjalani rawatan susulan termasuk kimoterapi untuk tempoh enam bulan sebagai langkah memastikan masalah ketumbuhannya tidak berulang.

Sementara itu ketika ditemui di lobi Parlimen selepas itu, Muhyiddin berkata kesihatannya kini sudah bertambah baik dan beliau sedang dalam proses pemulihan. 

Katanya beliau telah dinasihatkan oleh doktor untuk tidak terburu-buru memulakan tugas dan akan mengambil masa bagi mengembalikan kekuatan sebelum mula berkhidmat semula. 

“Selepas Raya Haji nanti saya akan memulakan proses rawatan kimoterapi atas cadangan doktor yang berpendapat adalah baik selepas pembedahan berjaya, perlu ada susulan dengan rawatan kimoterapi sebanyak 12 kali dalam masa enam bulan,” katanya. 

Ketika ditanya bila beliau akan mula bekerja semula, Muhyiddin berkata ia bergantung pada keadaan kesihatannya.

“Jika saya bertambah sihat, saya akan mula bekerja...kerja yang ringan-ringan dan saya juga boleh hadir mesyuarat tetapi tidak panjang, ini semua atas nasihat doktor. Kalau saya boleh hadir dalam mesyuarat jemaah menteri saya akan hadir,” katanya. 

-- Bernama
 

Advertisement