
KOTA KINABALU: Peluang pekerjaan bagi golongan siswazah adalah terhad di negeri Sabah kerana kekurangan industri yang bersedia untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka.
Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob berkata, ia telah berlarutan dalam jangka masa yang lama dari kerajaan lalu.
"Oleh itu, kerajaan baharu yang diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan) mengambil langkah positif untuk menangani masalah ini dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan," katanya menjawab soalan Matbali Musah (Umno-Lumadan).
Beliau berkata, kementeriannya telah mengambil tindakan jangka pendek dan jangka panjang untuk membantu para pencari kerja mendapatkan pekerjaan.
Katanya, melalui Jabatan Tenaga Kerja Sabah (JTKS) inisiatif telah diambil bagi mengadakan sesi lihat urus bersma Sabah Employers Association dan beberapa industri untuk mendapatkan maklumat kekosongan jawatan yang boleh ditawarkan kepada pencari kerja, khususnya bagi golongan siswazah.
"Maklumat ini disalurkan dalam setiap program jabatan seperti Karnival Pekerjaan," katanya.Yusof berkata, sesi perkongsian maklumat turut dikendalikan oleh JTKS bersama Sabah Economic Development and Investment Authourity (SEDIA) dan Malaysian Investment Development
Authourity (MIDA) Cawangan Sabah bagi pewujudan peluang pekerjaan kepada pencari kerja di Sabah, khususnya golongan siswazah.
Tambahnya, JTKS juga mengadakan program Train Ride Sabah pada 10 dan 11 Ogos yang berlangsung di Stesen Keretapi Tanjung Aru dan Daerah Beaufort.
Program Kembara Kerjaya Sabah 2018 pula akan diadakan pada 2 hingga 6 September 2018 melibatkan lima daerah iaitu Kota Kinabalu, Kudat, Kota Marudu, Ranau dan Keningau.
Program yang berkonsepkan `Konvoi Kenderaan Pacuan Empat Roda' akan menjelajah ke lima daerah di negeri Sabah.
Yusof berkata, dalam usaha memberi peluang kepada pencari kerja di negeri ini, kerajaan turut menekankan agar para pelabur dan majikan menggiatkan pelaburan yang mewujudkan banyak peluang pekerjaan berskala besar di semua sektor/industri di seluruh negeri.
Di samping itu katanya, Latihan Pendidikan Vokasional dan Teknikal (TVET) ditawarkan kepada pelajar dan lepasan sekolah yang mana, menyediakan latihan kemahiran peringkat sijil, diploma dan ijazah bagi menghadapi cabaran keperluan kerja serta industri berkaitan kemahiran di Sabah.
Contohnya, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Kinabalu, Advanced Technology Training Centre dan Japan Malaysia Technical Institute adalah institusi di bawah Kementerian Sumber Manusia yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan kemahiran di negara ini.
"Bidang keusahawanan khasnya perkhidmatan, pelancongan dan pertanian moden juga mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan," katanya.