Anda di sini

Karim ketuai delegasi Sarawak ke EATOF di Tottori, Jepun

Advertisement
 Abdul Karim (dua kanan) bergambar bersama gabenor-gabenor negara-negara ahli semasa EATOF Ke-16. Turut kelihatan Setiausaha Agung EATOF SeongBo Yoon (lima kanan) dan Gabenor Tottori Jepun Shinji Hirai (empat kiri).
BERSATU: Abdul Karim (dua kanan) bergambar bersama gabenor-gabenor negara-negara ahli semasa EATOF Ke-16. Turut kelihatan Setiausaha Agung EATOF SeongBo Yoon (lima kanan) dan Gabenor Tottori Jepun Shinji Hirai (empat kiri).

KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengetuai delegasi Sarawak ke Forum Pelancongan Antara-Wilayah Asia Timur (EATOF) yang diadakan di Tottori, Jepun pada 10 hingga 12 Ogos lepas.

EATOF ditubuhkan pada 2000, bagi mengekalkan keamanan dan kemakmuran menerusi pelbagai bidang terutama pelancongan dan ia satu-satunya persatuan pelancongan antarabangsa di Asia Timur.

Ketika ini EATOF mempunyai 10 ahli wilayah termasuk Sarawak (Malaysia), Cebu (Filipina), Gangwon (Korea Selatan), Jilin (China), Tuv (Mongolia), Tottori (Jepun); Yogyakarta (Indonesia), Quang Ninh (Vietnam), Siem Reap (Kemboja) dan Luang Prabang (Laos).

Setiap hali EATOF perlu memelihara keunikan budaya, tradisi dan sejarah masing-masing. Tema forum tahun ini ialah ‘Pembangunan Legasi Pelancongan Tempatan Mapan’.

Ia bertujuan terus membangunkan kandungan unik rantau ini menerusi pelancongan dan menyemai tanggungjawab untuk mengekalkan aset-aset unik sebagai warisan bernilai untuk dinikmati generasi hari ini dan masa depan.

Antara aktiviti diadakan sepanjang perhimpunan itu ialah Mesyuarat Jawatankuasa Tetap, Persidangan Gabenor-Gabenor, Malam EATOF, ‘Travel Mart’, Sambutan Hari Gunung Kebangsaan, Mesyuarat Bilateral dan Lawatan Teknikal.

Semasa perhimpunan itu, slogan ‘Mencari, Pengalaman, Inspirasi’ dipilih sebagai slogan global EATOF bagi merealisasikan perkongsian matlamat dengan merancang 2019-2020 sebagai tahun Kempen Global EATOF.

Deklarasi bersama oleh gabenor-gabenor juga mengiktiraf persekitaran semula jadi, warisan budaya, keamanan dan ekopelancongan yang menjadi asas industri pelancongan di rantau ini.

Justeru, ahli EATOF akan terus memberi tumpuan dan kerjasama kepada pembangunan program-program pembangunan berdasarkan tema-tema bersama seperti pembangunan dan pemuliharaan mapan, keamanan dan ekopelancongan.

Perhimpunan EATOF Ke-17 akan diadakan pada 2020 di bandar Quang Ninh, Vietnam.

Selain terlibat aktif dalam EATOF, Sarawak akan terus memanfaatkan keahliannya dalam beberapa landasan kerjasama wilayah lain seperti Kawasan Pertumbuhan Asia Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), Sosial Ekonomi Malaysia-Indonesia (SOSEK MALINDO), Jawatankuasa Kolaborasi dan Koordinasi Pelancongan Bersama Sabah-Sarawak-Labuan (SSLTTCC) untuk membangunkan bersama aktiviti, mempromosi dan memasarkan pelancongan dalam rantau ini.

Advertisement