Anda di sini

Jawatankhas dibentuk perhalusi tuntutan royalti minyak

Advertisement
SHAFIE memperkatakan sesuatu dengan Ketua Pembangkang yang juga Adun Tambunan Datuk Dr Jeffrey Kitingan selepas selesai Persidangan DUN Sabah di Bangunan DUN Sabah hari ini.
SHAFIE memperkatakan sesuatu dengan Ketua Pembangkang yang juga Adun Tambunan Datuk Dr Jeffrey Kitingan selepas selesai Persidangan DUN Sabah di Bangunan DUN Sabah hari ini.

KOTA KINABALU: Kementerian Kewangan Negeri Sabah telah memajukan kepada Petronas berhubung isu pemberian royalti 20 peratus kepada negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Haji Apdal.

Beliau berkata, Petronas telah memberi maklum balas bahawa jumlah bayaran tunai hasil minyak dan gas bergantung kepada pelbagai faktor dan sukar untuk dijangkakan pada masa ini.

Katanya, antara faktor yang menentukan jumlah bayaran itu adalah mekanisme serta asas peningkatan bayaran tunai yang perlu dibincang dan diputuskan oleh pihak terlibat.

"Anggaran kadar pengeluaran minyak dan gas, pelan pembangunan lapangan minyak dan gas baharu yang lebih kompleks kerana melibatkan pembangunan lapangan minyak serta gas di laut dalam dan harga pasaran minyak mentah dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Joachim Gunsalam (PBS-Kundasang), Datuk Limus Jury (Upko-Kuala Penyu) dan Datuk Jahid Jahim (PBS-Tamparuli) sempena persidangan DUN Sabah hari ini.

Shafie berkata Petronas juga memaklumkan bahawa pihaknya akan merujuk kepada panduan dan mandat daripada Kerajaan Persekutuan berkenaan sebarang perubahan berkaitan mekanisme serta asas pembayaran hasil minyak dan gas.

Menjawab soalan tambahan Limus, beliau berkata cadangan Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kadar royalti petroleum kepada 20 peratus masih lagi dalam peringkat perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan.

Sehubungan itu katanya, Kerajaan Negeri akan membentuk jawatankuasa khas bagi memperhalusi perkara mengenai tuntutan royalti minyak.

"Ia sebagai satu gambaran sahaja dan dengan andaian bahawa sekiranya kaedah pengiraan kekal seperti yang sedia ada dan dengan mengambil anggaran yang diberikan oleh Petronas bagi bayaran royalti petroleum untuk tahun 2018 iaitu RM1.318 bilion yang dikira berdasarkan kadar royalti 5 peratus, maka peningkatan kadar ke 20 peratus akan membolehkan kutipan royalti tidak kurang daripada RM5 bilion," katanya.

  • oleh
  • Advertisement