
KOTA KINABALU: Kerajaan akan mengambil perhatian keperluan menyediakan gerai-gerai dan tapak pasar yang lebih kondusif di daerah Ranau.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jaujan Sambakong berkata, kemudahan prasarana itu diperlukan rakyat setempat bagi menjalani perniagaan hasil pertanian seperti sayur-sayuran.
"Kini kita dapat lihat pelbagai sayur-sayuran dijual di daerah ini, sayur mahal akibat daripada permintaan yang banyak. Ranau kini sudah menjadi pengeluar sayur.
"Kini tiba masanya bagi menyediakan pasar yang lebih kondusif untuk masyarakat setempat bagi memasarkan hasil pertanian khususnya di Kundasang," katanya pada sidang media selepas sesi perbahasan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15, di sini hari ini.
Beliau berkata, kemudahan asas dari segi penginapan murah seperti inap desa perlu diseragamkan.
Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, Kundasang sudah dilengkapi landskap semula jadi tetapi perlu mempunyai penyusunan baik dari segi perumahan.
"Walaupun tidak wujud sebarang isu setinggan, tetapi kita masih berperanan agar rumah-rumah yang didirikan di kawasan itu perlu teratur.
"Perkara ini akan dibincangkan bersama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Christina Liew yang mana baru-baru ini beliau turut mengadakan lawatan ke Poring.
"Kawasan itu saya lihat agak terbiar... satu usaha perlu dilakukan untuk mengekalkan keaslian semula jadi agar mampu menarik lebih ramai pelancong ke Poring," katanya.
Hadir sama dalam sidang media itu ialah Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Hiew Vun Zin, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Ginun Yangus serta tetamu kehormat lain.