Anda di sini

Equanimity: Jho Low patut bertanggungjawab

Advertisement
 Najib dikerumuni wartawan ketika keluar dari Dewan Rakyat di Parlimen semalam. — Gambar Bernama
TENANG: Najib dikerumuni wartawan ketika keluar dari Dewan Rakyat di Parlimen semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau  Jho Low patut bertanggungjawab sekiranya terbukti bahawa dia memperolehi kapal mewah Equanimity secara tidak sah, kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Jika dilakukan secara tidak sah, jika kapal itu diperolehi dengan cara tidak sah dalam erti kata wang itu bukan kepunyaan dia (Jho Low) seperti yang didakwa, maka dia harus bertanggungjawab,” katanya.

“Bagaimanapun, apa yang perlu dan harus dilakukan berhubung kapal itu hendaklah berlandaskan kedaulatan undang-undang,” katanya kepada pemberita di Lobi Bangunan Parlimen

Ditanya mengenai dakwaan Jho Low bahawa Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat tidak mempunyai bukti ke atas dakwaan bahawa Equanimity dibeli secara tidak sah, Najib berkata itu terpulang kepada Jho Low.

“Terpulanglah kepada dia, kerana kita semua tidak terlibat sama sekali dengan kapal itu,” kata Ahli Parlimen Pekan itu.

Pada Sabtu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Amerika Syarikat telah memberi jaminan bahawa Malaysia merupakan pemilik kapal mewah Equanimity dan justeru Malaysia bebas melakukan apa sahaja ke atas kapal itu.

Dr Mahathir berkata kapal itu akan dijual tidak lama lagi berdasarkan siasatan DoJ yang mendedahkan bahawa kapal itu diperolehi Jho Low menggunakan dana yang disedut keluar daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Kapal mewah itu yang terlebih dahulu ditahan pihak berkuasa Indonesia tiba di Malaysia dari Batam pada 7 Ogos lepas.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa menggesa supaya Jho Low pulang ke Malaysia untuk memberikan gambaran yang sebenar kerana sejak kebelakangan ini nama beliau sering dikaitkan dengan isu 1MDB.

“Kalau tidak bersalah pulanglah ke Malaysia untuk buktikan. Rakyat tidak boleh selamanya berdepan isu ini kerana banyak lagi perkara lain yang perlu diberi perhatian.

“Dia (Jho Low) kena jelaskan kebenaran. Kita ahli-ahli Parlimen juga nak tahu kebenaran,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, semalam. — Bernama

Advertisement