Anda di sini

56 terlibat Operasi Penguatkuasaan Bersepadu

Advertisement
PARA anggota penguatkuasa daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan bergambar ramai selepas operasi itu.
PARA anggota penguatkuasa daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan bergambar ramai selepas operasi itu.

KENINGAU: Seramai 56 anggota dari pelbagai jabatan dan agensi penguat kuasa terlibat dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu yang dianjurkan oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau, di sini pada Isnin.

Jabatan dan agensi yang terlibat dalam operasi itu terdiri Jabatan Pengangkutan Jalan, AADK, Jabatan Imigresen Keningau, Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, dan Jabatan Perikanan.

Operasi yang bertemakan Operasi Sekatan Jalanraya bermula jam 9.30 pagi diketuai oleh Pegawai Kesihatan Persekitaran Placidius David.

Beliau berkata, sebanyak 106 kenderaan awam, sebuah lori mengangkut ikan dan sebuah bas persendirian telah diperiksa di bawah Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil

Tembakau 2004 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 serta Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Katanya, lima kenderaan awam yang tidak mengikut spesifikasi tanda larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 telah diberikan amaran oleh Pejabat Kesihatan Kawasan ini.

"Seramai empat individu yang diperiksa positif dadah melalui ujian air kencing ditahan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (ADDK) daerah ini pada operasi penguatkuasaan bersepadu itu," katanya.

Ketua Pegawai AADK Keningau Azri Golbin memberitahu, keempat-empat lelaki terbabit turut menjalani ujian HIV rapid test.

Placidius berkata, operasi yang julung kali dianjurkan oleh Klinik Kesihatan Keningau diharap dapat meneruskan jalinan kerjasama di antara pelbagai jabatan dan agensi penguatkuasaan di daerah ini pada masa akan datang, di samping mewujudkan kesedaran sivik masyarakat kepada orang ramai dan pengguna jalan supaya sentiasa mematuhi perundungan yang terdapat di negara ini.

Selain itu katanya, sebagai melambangkan tanda sokongan semua agensi penguatkuasaan dalam melaksanakan peruntukan undang-undang yang terdapat kepada jabatan masing-masing.

Advertisement