Anda di sini

50 rumah, premis terjejas angkara ribut

Advertisement
RUMAH di Lorong Seroja, Kg Tanjung Batu Keramat Laut ini salah satu daripada kediaman orang Tawau yang roboh berikutan fenomena ribut, angin kencang dan hujan lebat yang berlaku.
RUMAH di Lorong Seroja, Kg Tanjung Batu Keramat Laut ini salah satu daripada kediaman orang Tawau yang roboh berikutan fenomena ribut, angin kencang dan hujan lebat yang berlaku.

TAWAU: Sekurang-kurangnya 50 rumah dan premis di sekitar Bandar Tawau terjejas teruk berikutan fenomena ribut, angin kencang dan hujan lebat yang melanda.

Utusan Borneo difahamkan, fenomena alam itu berlaku kira-kira jam 11 malam Isnin, sebelum kesannya mula ketara antara jam 11.30 dan 12 tengah malam.

Malah, dua rumah di Kg Tanjung Batu Keramat Laut dan sebuah rumah di Batu 2.5 Jalan Apas didapati roboh akibat tiupan angin kencang yang berlaku semasa air laut surut.

Kes rumah yang terjejas akibat atap zink diterbangkan angin juga turut berlaku, begitu juga kejadian rumah-rumah dihempap oleh serpihan zink dan kayu yang berterbangan.

Antaranya, di Kg Tanjung Batu Keramat Laut, Kg Pukat Tanjung Batu Laut, Batu 2 hingga Batu 5 Jalan Apas, Kg Pasir Putih Baharu dan Taman Da Hua serta Taman Leeka.

Beberapa batang jalan di daerah ini turut terjejas dengan kejadian pokok tumbang di sekitar Jalan Tengku Osman, Jalan Utara, Jalan Apas dan Jalan Tanjung Batu Laut.

Begitu juga Kolej Tingkatan Enam Tawau dan SMK Tawau II serta premis perniagaan seperti bangunan kedai, warung dan bengkel di Jalan Dr Yamamoto, Tanjung Batu Keramat, Batu 2 Jalan Apas dan Hill Top.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Sharudy Delamin berkata bomba menerima banyak panggilan kecemasan sepanjang malam kejadian berlaku dari sekitar daerah ini.

Pada masa sama, bomba juga terpaksa berkejar ke Kg Sentosa untuk memadamkan kebakaran di salah sebuah rumah penduduk semasa fenomena terbabit berlaku.

Rata-rata mangsa yang ditemui mendakwa melihat angin berpusar yang menggerunkan sehingga menyebabkan mereka trauma dan ketakutan sepanjang fenomena itu terjadi.

Mangsa juga mengaku berlindung di rumah kerana gementar untuk keluar berikutan kejadian petir sabung-menyabung dan angin kencang serta hujan lebat.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bencana Alam Daerah Tawau merangkap Presiden Majlis Perbandaran Tawau Alijus Sipil berkata belum menerima butiran lengkap kejadian.

Di Semporna, Ketua Polis Daerah Semporna Supt Peter Umbuas yang dihubungi pula berkata setakat jam 5 petang, sebanyak lima laporan kerosakan rumah diterima pihaknya.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bencana Alam Daerah Semporna yang juga Pegawai Daerah Semporna Dr Chacho Bulah berkata pihaknya masih menunggu laporan lanjut.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran pada Selasa mengenai ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Tawau, Lahad Datu, Sandakan dan Kinabatangan sehingga jam 12 tengah malam Selasa.

  • oleh
  • Advertisement