Anda di sini

10 syarikat terlibat aktiviti lombong pasir

Advertisement
JUNZ WONG
JUNZ WONG

KOTA KINABALU: Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Junz Wong berkata 10 buah syarikat telah dikenal pasti terlibat dalam aktiviti perlombongan dan pengorekan pasir sungai-sungai di Keningau.

Daripada jumlah itu, beliau berkata tujuh syarikat akan diisytihar menjalankan aktiviti tersebut secara haram selepas lesen mereka dibatalkan, kerana tidak mematuhi syarat dalam Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), manakala tiga syarikat lagi masih dalam proses memperbaharui lesen.

Bagaimanapun, Junz Wong berkata, proses memperbaharui lesen itu dihentikan sementara kerana pihaknya masih mencari mekanisme terbaik sebelum memperbaharuinya kerana aktiviti itu telah menyebabkan hakisan tanah dan menurunkan kualiti air sungai.

“Banyak kerosakan tidak dapat dipulihkan dan banyak (operator) tidak mematuhi EIA dalam menjalankan aktiviti itu. Tanah penduduk serta tanah (kerajaan) negeri juga banyak terjejas.

“Justeru, mekanisme terbaik perlu dicari (sebelum membenarkan lesen diteruskan dan diperbaharui) termasuk memikirkan berapa keluasan dan kedalaman dibenarkan bagi menjalankan aktiviti tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Pada 1 Julai, kerajaan negeri Sabah telah mengarahkan supaya aktiviti perlombongan dan pengorekan pasir sungai-sungai di Keningau dihentikan serta-merta meskipun operator terbabit mempunyai lesen yang dikeluarkan oleh pegawai hasil tanah.

Bagaimanapun Junz Wong berkata syarikat terbabit masih boleh menjual stok pasir yang mereka ada meskipun aktiviti itu telah dihentikan.-Bernama

Advertisement