Anda di sini

Warga emas perlu amal gaya hidup sihat

Advertisement
 Mohamad (enam kiri) menerima cenderamata daripada Pejabat Kesihatan Masyarakat Bahagian Sarikei.
PENGHARGAAN: Mohamad (enam kiri) menerima cenderamata daripada Pejabat Kesihatan Masyarakat Bahagian Sarikei.

SARIKEI: Warga emas perlu mengamalkan gaya hidup sihat dan sentiasa menjalani aktviti bersenam untuk memastikan tubuh kekal sihat walaupun berhadapan dengan isu penuaan.

Residen Bahagian Sarikei Mohamad Junaidi Mohidin berkata  warga emas digalakkan melakukan senaman ringan mengikut kemampuan fizikal tubuh.

“Negara kita kini menuju status negara tua pada 2030 dengan 15 peratus daripada penduduk berusia 60 tahun ke atas.

“Berdasarkan bancian pada 2014, warga emas di negara ini  adalah sekitar 2.65 juta orang atau 8.8 peratus daripada keseluruhan populasi 30.1 juta rakyat Malaysia,” katanya pada Majlis Penutupan Karnival Mini Senaman Warga Emas Got Talent 2018, petang kelmarin.

Katanya, dalam menangani senario demografi ini semua pihak perlu berganding bahu mewujudkan persekitaran sosial, ekonomi dan kesihatan sesuai bagi kesejahteraan hidup warga emas selaras dengan Dasar Warga Emas Negara menyasarkan warga emas berdikari, aktif, proaktif dan produktif.

Program berlangsung di Dewan Serba Guna Kampung Baru Seberang Sarikei itu dihadiri sekitar 1,000 orang.

Pelbagai aktiviti dianjurkan sepanjang program itu seperti senamrobik, kaunter pameran dan kesihatan, pertandingan tarian, nyanyian dan banyak lagi.

Menurut Mohamad, penganjuran program ini membantu golongan ini khususnya membina semangat berpasukan di samping mengeratkan hubungan sesama warga emas.

“Program ini juga memantapkan jaringan sosial seorang warga emas dan memberi impak mendalam nenangani isu kesunyian, kemurungan dan pengabaian dalam kalangan warga emas.

“Kita juga ingin memberi kesedaran kepada golongan ini bahawa kesihatan adalah suatu yang tidak ternilai.

“Justeru, kita mahu golongan ini turut memberi penekanan menjaga kesihatan mereka sampai bila-bila,” katanya dan memberitahu program itu anjuran Pejabat Kesihatan Masyarakat Bahagian Sarikei.

Advertisement