Anda di sini

Perintah berkurung di ESSZone dilanjut hingga 29 Ogos

Advertisement
 


KOTA KINABALU: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir 6 petang ini dilanjutkan hingga 29 Ogos, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, beliau berkata dengan pelanjutan itu, mereka yang tinggal di kawasan berkenaan diminta berada di dalam rumah dan tidak dibenarkan memasuki kawasan perairan itu antara 6 petang hingga 6 pagi sepanjang tempoh berkenaan.

Beliau berkata perintah berkurung itu meliputi kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran serta bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan serta rakyat yang berada di kawasan daratan ESSZone.

Katanya berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik untuk mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh bagi melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan.

Ramli berkata perintah berkurung itu juga bagi memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran kapal anggota keselamatan di sekitar kawasan mereka.

"Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di daerah ESSZone untuk mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung," katanya. 

- Bernama
 

Advertisement