Anda di sini

Kuasai ilmu demi mengangkat nama sekolah

Advertisement
MERAKAMKAN album kenangan selepas sesi motivasi.
MERAKAMKAN album kenangan selepas sesi motivasi.

KOTA MARUDU: Pelajar diingatkan menguasai ilmu agar berpeluang mencatat sejarah tersendiri di sekolah bukan saja sebagai pelajar cemerlang tetapi juga sebagai ikon sekolah sehingga ke peringkat lebih tinggi.

Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Khairuddin Jamari berkata, walaupun pihak Kemeterian Pelajaran tidak lagi memberikan tekanan kepada pelajar dan guru untuk mecatat keputusan tinggi namun pelajar harus mempunyai kemahuan untuk mencatat keputusan sebagai peneraju dalam peperiksaan UPSR.

“Sebab itu kita mengadakan sesi motivasi kepada pelajar dan ibu bapa untuk lebih mengetahui pendekatan terbaharu pencapaian akademik,” katanya.

Khairuddin berkata demikian ketika sesi motivasi di SK Tagaroh dikendalikan pakar motivasi dibantu penceramah bidang-bidang lain seperti bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan bahasa Melayu.

Menurut Khairuddin, sekolah berkenaan menjadi peneraju sesi motivasi dan berterima kasih kepada Kumpulan Yayasan Sabah yang turut menjadi penganjur bersama.

Seramai 63 murid yang disertai ibu bapa mengikuti sesi motivasi itu dan mengambil kesempatan berinteraksi dengan para penceramah.

Beberapa murid yang ditemui selepas sesi menyatakan kesediaan mengikuti penjadualan persiapan menghadapi peperiksaan manakala ibu bapa mengambil iktibar menjadi rakan pembimbing kepada anak-anak mengulang kaji.

IBU BAPA dan murid mengikuti sesi motivasi.
IBU BAPA dan murid mengikuti sesi motivasi.

Yang Dipertua PIBG, Ismail Sulaiman berkata majlis seumpama itu amatlah berharga dan diharapkan program itu dapat diteruskan pada masa-masa hadapan.

Terdahulu, seorang ibu bapa Sabrin Sindan menyarankan agar Kelab Alumni sekolah itu ditubuhkan bagi memberi ruang kepada bekas pelajar melaksanakan khidmat sukarela seperti bimbingan dan tuisyen.
Adik Eyzel Janil ketika ditanya sesi itu merangsangnya lebih bersemangat mencapai sekurang-kurangnya 4A demi merealisasikan cita-citanya menjadi pendidik.

Hadir sama Pengurus Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pantai Barat Utara, Milus Suaip, Guru Besar Hajah Adiah Mustapha, para penolong kanan dan guru-guru.

  • oleh
  • Advertisement