Anda di sini

Gempar hujan batu

Advertisement
 Marjan menunjukkan atap rumahnya yang berlubang disebabkan fenomena hujan batu semalam.
ROSAK: Marjan menunjukkan atap rumahnya yang berlubang disebabkan fenomena hujan batu semalam.

KUCHING: Penduduk digemparkan dengan fenomena hujan batu yang melanda beberapa kawasan di sekitar Kota Samarahan, Stampin dan Tabuan Jaya kira-kira jam 4.30 petang semalam.

Hujan itu turut menyebabkan pengguna jalan raya di laluan kawasan terjejas terpaksa berteduh dan berlindung di tempat selamat.

Malah, beberapa rumah penduduk kampung di kawasan yang dilanda hujan batu itu turut mengalami kerosakan di bahagian bumbung rumah.

Menurut Marjan Tamin, 57, dari Kampung Stampin Baru, hujan batu itu mula turun sekitar jam 4.30 petang semalam.

"Terdengar bunyi yang kuat jatuh di bumbung rumah, saya bergegas keluar dari rumah untuk melihat dari mana datangnya bunyi tersebut.

"Sebaik sahaja membuka pintu terlihat ketulan-ketulan seperti ais berselerak di hadapan rumah dan di situlah baharu saya tahu bunyi dari bumbung itu disebabkan hujan batu," katanya ketika dihubungi pemberita semalam.

Marjan memberitahu, kejadian hujan batu itu merupakan yang pertama berlaku sejak beliau tinggal di kampung tersebut.

"Sebelum hujan batu ini turun, angin memang bertiup kencang," katanya sambil menambah, fenomena hujan batu itu dialami hampir sejam di kawasan kampung tersebut semalam.

Selepas hujan batu itu reda sekitar jam 5 petang, Marjan memeriksa keadaan bumbung rumahnya dan mendapati beberapa lubang di bahagian atap rumahnya disebabkan hujan batu tersebut.

Sementara itu, anaknya, Hasnah Marjan, 34, yang tinggal bersebelahan bergegas ke rumahnya kerana takut dengan keadaan fenomena hujan batu tersebut.

"Inilah pertama kali saya melihat hujan batu berlaku di hadapan mata sendiri, ketulan ais seperti guli bertaburan di hadapan rumah.

"Keadaan ini memang menakutkan ditambah hujan lebat dan angin kencang memaksa saya dan anak berlari ke rumah bapa," kata Hasnah.

Fenomena hujan batu turut melanda Kuala Lipis pada jam 6.45 petang selama 20 minit pada Jumaat.

Hujan batu terhasil apabila ketulan ais terbentuk dalam awan ribut petir atau awan kumulonimbus, iaitu sumber utama pembentukan hujan ribut petir, disebabkan arus perolakan yang kuat dalam awan itu.

  • oleh
  • Advertisement