Anda di sini

Adakah Anda Seorang Pemimpin Yang Berani?

Advertisement

Hampir 20 tahun yang lepas, saya kembali ke Malaysia untuk menguruskan sebuah perniagaan penerbangan. Saya langsung tidak mempunyai pengetahuan tentang industri penerbangan tetapi saya tahu yang perniagaan itu memerlukan kepimpinan yang berani untuk memacunya ke hadapan. Walaupun ia adalah industri yang dikawal selia dengan rapi, kami berjaya mengubahnya dengan menolak sempadan secara proaktif.

Colin Powell pernah mengungkapkan cara kepimpinannya yang berani sebagai

“Anda tidak tahu apa yang anda terdaya lakukan sehingga anda mencubanya.”

Tetapi, walaupun adanya peluang sama rata untuk menjadi berani dan mengambil risiko, kebanyakan orang muda sekarang tidak lagi berani mengambil risiko mahupun berjuang untuk kepercayaan mereka. Mereka lebih rela berada dalam zon selesa dan mengekalkan status quo, selagi keperluan peribadi mereka dipenuhi – walaupun berbeza pendapat.

Kepasifan sedemikian dalam kalangan pemimpin bermakna kurangnya inovasi dan lebih tekanan (kerana manusia menderita dalam diam).  

Dalam sejarah manusia, pemimpin-pemimpin seperti Gandhi, Helen Keller, Jeff Bezos, Jack Welch dan Mandela, menonjol kerana mereka melawan norma industri, tradisi sosial dan kepercayaan manusia. Mereka berjuang dengan berani untuk membela idea dan nasib mereka. Dunia menjadi tempat yang lebih baik kerana inisiatif mereka yang berani mengambil risiko.

Negara kita tidak memerlukan pemimpin yang mengekalkan status quo. Kita memerlukan  pemimpin yang berani dan sanggup membuat perubahan demi kesejahteraan manusia sejagat.

Jadi, bagaimana seseorang boleh menjadi pemimpin yang berani?

Membina keberanian

Kita memerlukan masa untuk menyemai keberanian dalam diri. Berikut adalah langkah-langkah yang boleh diambil untuk belajar menjadi berani.

#1. Ada tujuan yang jelas

Ketahui dengan jelas tujuan perjuangan anda. Apakah perjuangan atau misi yang anda bertekad untuk laksanakan? Tahu apa dan mengapa anda terlibat dalam perjuangan itu. Anda tidak boleh menjadi berani jika anda tidak tahu apa yang diperjuangkan. Hadamkan tujuan itu dalam sanubari anda dan anda akan lihat bagaimana ia mengubah anda menjadi seorang yang lebih berani. Saya biasanya agak penakut tetapi apabila timbul keperluan untuk berjuang, saya pernah melakukan perkara yang saya sendiri tidak pernah terfikir akan lakukan.

Baca: Organisasi Yang Dipacu Tujuan Akan Mencapai Kehebatan

#2. Atasi ketakutan anda

James Neil Hollingworth berkata,

“keberanian bukanlah ketiadaan rasa takut, tetapi membuat pertimbangan bahawa adanya sesuatu yang lebih penting daripada ketakutan.”

Kebanyakan daripada kita hidup serba takut, asyik ingin mengambil hati orang sekeliling. Tanya pada diri sendiri jika ketakutan itu munasabah atau tidak. Kemudian tanya diri sendiri apakah perkara paling buruk akan berlaku jika anda menjadi berani dan buat apa sahaja yang diingini?  Anda mungkin terkejut yang selalunya ketakutan kita yang paling besar adalah kerisauan kita tentang pandangan orang lain terhadap kita dan bukannya isu ‘menakutkan’ yang ketara.

Baca: Percayalah Kepada Keberanian Kata Hatimu!

#3. Jangan takut untuk gagal

John Wooden pernah berkata,

“Jika anda tidak membuat kesilapan, maknanya anda tidak berbuat apa-apa.”

Sepanjang hidup saya, saya membuat pelbagai kesilapan tetapi hasilnya saya mendapat idea dan penemuan baharu. Amy Rees Anderson berkata,

“kesilapan bukanlah kegagalan, ia hanyalah proses menyingkirkan cara-cara yang tidak berkesan supaya dapat berjumpa dengan cara yang memberi makna.”

Kita semua gagal. Dengan meyakinkan diri sendiri bahawa walaupun anda gagal, anda tetap akan berkembang, keupayaan anda mengambil risiko dan menjadi berani akan meningkat secara eksponen.

Baca: Tidak Mengapa, Biar Mereka Gagal

#4. Jadi pemikir yang kritis

Tanya soalan. Apa sahaja. Waktu kecil dahulu, saya jarang sekali bertanya. Sebahagian daripada keberanian adalah tahu bila untuk bertindak dan bila untuk diam. Jika anda tidak terdaya bertanya soalan yang betul dan menganalisis situasi secara kritis, kemungkinan anda tidak mempunyai sebarang pendapat dan tiada keberanian untuk mempertahankan pendapat itu ataupun tidak bersetuju dengan orang lain.

Baca: Soalan Merubah Dunia, Bukan Jawapan!

#5. Jadi pembidaah

Jangan selalu meminta kebenaran. Kadangkala ia lebih baik membuat sesuatu dan meminta maaf kemudian jika hal itu tidak menjadi seperti yang dirancang. Meminta maaf adalah salah satu perkara penting untuk menjadi pemimpin yang berani. Anda perlu selalu melakukannya. Sentiasa mengaku apabila membuat kesilapan, minta maaf, jelaskan mengapa anda gagal, betulkan kesilapan itu dan cuba lagi. Menjadi pembidaah bermakna anda menjadi tidak munasabah dalam keinginan merubah dunia.

Baca: Hargai Penyimpang Demi Kejayaan Bisnes

Akhir kata

Kebanyakan bayi tidak dapat berjalan pada percubaan pertama. Mereka semua mencuba bertatih dan jatuh. Tetapi mereka tidak takut mencuba semula berkali-kali hingga berjaya.

Hakikatnya, kita juga tidak takut belajar berjalan waktu kecil dahulu. Kita begitu berani. Kemudian kita menjadi berani untuk menunggang basikal pula. Tetapi kenapa kita takut sekarang? Mengapa kita begitu takut menjadi pemimpin yang berani dan berusaha ‘merubah dunia’? 

Kita mempunyai banyak potensi untuk membuat perubahan yang ketara di dunia ini. Apa yang diperlukan hanyalah sekelumit keberanian. Teruskan, jadilah berani!

Sumber

  • oleh
  • Advertisement